MELAKA: Sepasang suami isteri direman enam hari oleh Mahkamah Majistret Melaka, Ayer Keroh, hari ini bagi membantu siasatan kes dera anak angkat lelaki berusia sembilan tahun yang didakwa disiram air panas dan dicucuh dengan pemetik api hanya kerana menghilangkan pensil warna di sekolah.
Perintah reman suspek seorang pemandu lori berusia 27 tahun manakala isterinya seorang suri rumah berusia 24 tahun dikeluarkan Majistret Uthman Abd Ghani bermula hari ini sehingga 10 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, menurut sumber, kejadian terbongkar selepas bapa saudara mangsa datang ke rumah suspek yang juga adiknya di Batu Berendam pada malam 30 Oktober lalu dan terlihat kecederaan melecur di jari tangan kanan selain kesan parut lama di kaki mangsa.
“Semasa berada dalam rumah, isteri pengadu juga dimaklumkan oleh suspek wanita dia telah menyiram tangan kanan anaknya itu dengan air panas pada 29 Oktober lalu sebagai hukuman kerana menghilangkan pensil warna di sekolah.
“Selain itu, kaki mangsa juga pernah dicucuh dengan pemetik api oleh suaminya pada Ogos lalu sebelum wanita itu menceritakan kejadian tragis itu kepada suaminya ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Menurutnya, pengadu sekali lagi datang ke rumah suspek pada 31 Oktober lalu bersama bapanya dan memberi alasan mahu membawa mangsa keluar bersiar-siar dan dibenarkan suspek dengan syarat perlu menghantar mangsa pulang segera.
“Petang keesokan harinya, semasa pengadu dan isteri berada di rumah ayahnya mangsa telah menceritakan kejadian dia kerap dipukul oleh kedua-dua suspek.
“Mangsa mendakwa, jari tangan kanannya juga telah direndam di dalam air panas pada 29 Oktober lalu sehingga melecur kerana menghilangkan pensil warna di sekolah menunjukkan kesan parut terbakar di kaki akibat dicucuh dengan pemetik api pada Ogos lalu,” katanya.
Katanya, lelaki itu yang tidak berpuas hati dengan tindakan suami isteri itu membuat laporan polis di Balai Polis Batu Berendam pada 2 November lalu. – UTUSAN










