Pasangan kekasih pecah cermin kereta, curi beg tangan dipenjara

Pasangan kekasih pecah cermin kereta, curi beg tangan dipenjara

KOMPLEKS Mahkamah Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Sepasang kekasih masing-masing dihukum penjara selama enam dan sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memecah cermin kereta dan mencuri  beg tangan di tempat letak kereta di dua buah pasar raya di sini, kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Ee Hup Siong, 47, yang bekerja sebagai pemandu bas dan teman wanitanya, Wong Kar Leng, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mencuri satu unit tablet jenis Samsung, telefon bimbit jenis Oppo F9, sekeping MyKad, kad nikah, dua keping kad bank, wang tunai RM20 dan satu unit kunci pejabat di dalam beg tangan milik Nurul Intan Syafinas Karim, 25.

Kesalahan itu dilakukan oleh mereka di tempat letak kereta pasar raya Eco, Jalan Wakaf Mek Zainab di sini kira-kira pukul 6.10 petang pada 15 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Hup Siong didakwa atas pertuduhan mencuri MyKad, dokumen penting, kunci bilik ketua jabatan Kolej Vokasional, kunci bilik keselamatan peperiksaan, kunci makmal pengurusan perniagaan, cermin mata, telefon bimbit jenis RealMe dan komputer riba di dalam beg tangan milik Nor Asmat Sidik Ahmad, 50.

Perbuatan tersebut dilakukan oleh lelaki itu berhampiran pasar raya Billion Tanjung Chat kira-kira pukul 5.45 petang pada 11 November lalu.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan sebat bagi kesalahan kali kedua sekiranya disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Alini Ahamad Kamil.

Terdahulu, Muhammad Syamsul Ikhmal memohon hukuman yang setimpal sebagai pengajaran kepada kedua-dua tertuduh selain meminta barangan kes diserahkan semula kepada pemilik asal.

Nur Alini dalam rayuannya memohon hukuman yang minimum dengan alasan kedua-dua tertuduh sudah insaf dengan perbuatan yang dilakukan oleh mereka.

“Tertuduh pertama bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan manakala tertuduh kedua pula menganggur selepas bercerai dengan bekas suaminya dan merupakan ibu kepada lima orang anak,” katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara enam bulan terhadap kedua-dua tertuduh bermula tarikh mereka ditangkap iaitu pada 15 November lalu bagi pertuduhan pertama.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan Hup Siong dipenjara sembilan bulan bermula hari ini bagi pertuduhan kedua selain membenarkan beberapa barangan bagi kedua-dua kes diserahkan semula kepada pemilik asal.

Mengikut fakta kes, cermin dua buah kereta milik dua orang wanita dipecah semasa diletakkan di tempat letak kenderaan di dua buah pasar raya di sini. 

Kedua-dua mangsa kehilangan beg tangan yang mengandungi pelbagai barangan peribadi, wang tunai, telefon bimbit dan komputer riba.

Utusan Malaysia 19 November lalu melaporkan, kes pecah cermin kereta melibatkan kerugian lebih RM112,750 berjaya diselesaikan selepas polis menahan pasangan kekasih yang dalang kepada kegiatan tersebut pada Sabtu lalu.

Pasangan kekasih berusia 47 dan 36 tahun itu ditahan polis pada pukul 6.15 petang dalam serbuan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Jalan Sri Cemerlang di sini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN