Parlimen: SPRM buka 87 kertas siasatan rasuah pelbagai kementerian sejak 2022

Parlimen: SPRM buka 87 kertas siasatan rasuah pelbagai kementerian sejak 2022

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 87 kertas siasatan berkaitan kes rasuah di pelbagai kementerian dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 2022 hingga 26 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bagaimanapun terdapat lapan kementerian yang bebas daripada sebarang siasatan rasuah sepanjang tempoh berkenaan.

Antaranya ialah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Digital (KDIGITAL), Kementerian Kerja Raya (KKR), Kementerian Luar (KLN), Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Azalina berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merekodkan siasatan tertinggi dengan 14 kertas siasatan, diikuti Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebanyak 11 kes.

“Selain itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan masing-masing mempunyai lapan kertas siasatan, diikuti Jabatan Perdana Menteri (tujuh) serta Kementerian Pertahanan (enam).

“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mencatat lima kertas siasatan, manakala Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) masing-masing mempunyai empat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen, menjawab pertanyaan Datuk Rosol Wahid (PN–Hulu Terengganu) yang meminta pecahan jumlah kes rasuah membabitkan penjawat awam mengikut kementerian dan agensi dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Azalina berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) masing-masing merekodkan tiga kertas siasatan manakala Kementerian Ekonomi, Kementerian Komunikasi dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) masing-masing mempunyai dua kertas.

Menurutnya, lima kementerian yang masing-masing mempunyai satu kertas siasatan iaitu Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air , Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×