PARLIMEN: ‘Pembangkang tidak sokong belanjawan, tapi mahu pula peruntukan’

PARLIMEN: ‘Pembangkang tidak sokong belanjawan, tapi mahu pula peruntukan’

AHMAD MASLAN - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menegur sikap segelintir Ahli Parlimen pembangkang yang didakwa terus meminta pelbagai peruntukan pembangunan di kawasan mereka walaupun tidak menyokong Belanjawan 2026 yang dibentangkan kerajaan.

Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Islahuddin Abas (PN–Mersing) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini mengenai perancangan menaik taraf jalan di Johor termasuk cadangan sambungan Lebuh Raya Senai–Desaru ke Mersing serta Lebuhraya Pantai Timur 4 (LPT4) dari Pekan ke Mersing, selain status projek Bypass Mersing.

“Mersing ini kawasan pembangkang, tetapi permintaan banyak sekali. Semalam masa undian Belanjawan 2026, mereka tidak menyokong pun, namun hari ini minta itu dan ini. Belanjawan itu pun untuk rakyat,” katanya.

Untuk rekod, Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 diluluskan di peringkat dasar semalam melalui undi belah bahagian dengan 120 Ahli Parlimen bersetuju, 67 menolak dan 35 tidak hadir.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) sentiasa komited menaik taraf jaringan lebuh raya serta jalan utama di Johor sebagai persediaan menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ)yang dijangka merancakkan ekonomi dan meningkatkan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Ahmad Maslan berkata, sebanyak sembilan zon utama JS-SEZ dikenal pasti dengan reka bentuk infrastruktur yang menekankan kesinambungan antara jambatan, lebuh raya dan pelabuhan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi wilayah itu.

Selain itu, katanya, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan KKR telah memberi kelulusan kepada beberapa projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) termasuk pembinaan lorong tambahan Lebuh Raya Utara–Selatan (PLUS) dari Yong Peng Utara ke Senai Utara (Fasa 1) serta naik taraf Lebuh Raya Pasir Gudangdaripada empat kepada enam lorong dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur naik PLUS.

Ahmad Maslan berkata, beberapa projek baharu diluluskan di bawah Rancangan Boleh Pinda 1 RMK13, antaranya kerja awalan menaik taraf Jalan Parit Panjang dari Pekan Air Baloi, Pontian ke Persimpangan Tol Sedenak serta projek naik taraf Lebuh Raya Senai–Desaru dari Jambatan Sungai Johor ke Desaru bagi menyokong pembangunan JS-SEZ.

Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Muhammad Islahuddin mengenai kesediaan kementerian meningkatkan keupayaan lebuh raya dan jalan utama di Johor yang kini berdepan kesesakan akibat pertambahan kenderaan serta pembangunan pesat di Iskandar Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN