Pantai Timur berisiko banjir lagi

Pantai Timur berisiko banjir lagi

KEADAAN banjir di Kampung Surau Haji Yaakob, Marang, Terengganu, kelmarin. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negeri-negeri Pantai Timur berdepan risiko banjir yang berterusan selepas Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesan Lekukan Tropika (b) pada latitud 4.0 darjah utara dan longitud 104.0 darjah timur, semalam.

MetMalaysia berkata, ribut tropika dijangka bergerak ke arah Timur Laut khususnya Kuantan, Pahang dengan kelajuan lima kilometer perjam (km/j) dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.

“Keadaan ini boleh menye­babkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan.

“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MET Malaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638,” kata­nya.

Awal pagi semalam, hujan lebat berterusan disertai angin kencang dan laut bergelora melanda beberapa lokasi di Negeri Sembilan dan Selangor akibat pergerakan Ribut Tropika Senyar bagaimanapun ia semakin melemah dan menuju ke Laut China Selatan serta diturun taraf kepada sistem cuaca tekanan rendah.

Untuk rekod, Malaysia pernah dilanda Ribut Tropika Vamei di selatan Semenanjung pada 26 Disember 2001 dan Ribut Tropika Greg yang me­nimpa Sabah pada 26 Disember 1996.

Senyar ialah ribut tropika ke­tiga melanda Malaysia dan yang pertama terbentuk secara langsung di Selat Melaka.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan, taufan itu kini berada di tengah Semenanjung dan diramal akan terus bergerak ke arah timur menuju ke perairan Laut China Selatan.

“Walaupun ia telah melemah, peredaran sisa ribut itu masih berpotensi membawa hujan le­bat berterusan, angin kencang dan laut bergelora.

“Senyar telah mendarat sekitar tengah malam tadi di kawasan pantai antara sempadan negeri Selangor dan Negeri Sembilan. Corak cuaca ini dijangka berterusan sehingga esok,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan ter­sebut dan mengemaskini maklumat serta amaran cuaca sekiranya terdapat perubahan signifikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN