Pahang alu-alukan projek magnet berkuasa tinggi RM600 juta - Utusan Malaysia

Pahang alu-alukan projek magnet berkuasa tinggi RM600 juta

WAN ROSDY Wan Ismail ketika ditemui pemberita pada Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kuantan, Gebeng di Kuantan, Pahang. - GAMBAR MUHAMMAD NAIM HELMI HAFIDZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyambut baik projek pembangunan fasiliti pembuatan magnet berkuasa tinggi bernilai RM600 juta oleh syarikat JS Link dan Lynas Malaysia di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan diyakini mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.

“Saya mengalu-alukan projek ini kerana seperti biasa, apabila ada pelaburan, kita wujudkan peluang pekerjaan. Ramai boleh bekerja, ramai datang ke Pahang, ekonomi negeri meningkat dan masyarakat setempat turut menerima limpahan manfaat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Industri Kuantan di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Kuantan di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan terkini projek berkenaan yang masih belum dimuktamadkan daripada segi lokasi pelaksanaan.

Menurut Wan Rosdy, setakat ini belum ada pertemuan rasmi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan perkara tersebut.

“Kita alu-alukan, tetapi apa pun tertakluk kepada perbincangan serta peraturan dan syarat-syarat yang ditentukan oleh kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri akan beri pandangan berkaitan industri Lynas ini,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif JS Link, Lee Jun Young dan Pengarah Urusan Lynas Malaysia, Datuk Seri Marshal Ahmad, disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sempena lawatan kerja tiga hari ke Korea Selatan bagi menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN