Negeri Sembilan tidak benarkan lombong REE di hutan simpan

Negeri Sembilan tidak benarkan lombong REE di hutan simpan

AMINUDDIN Harun bergambar bersama pemenang pada Majlis Apresiasi Inovasi 2025 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban, hari ini. -UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Negeri Sembilan tidak akan membenarkan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dilakukan di kawasan hutan simpan kekal (HSK) di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan akan kerajaan negeri akan berhati-hati dalam mempertimbangkan kelulusan aktiviti perlombongan terutama yang melibatkan tanah kerajaan, tanah individu dan kawasan hutan.

“Kita tidak tahu lagi jenis REE yang ditemui, namun saya ingin tegaskan bahawa aktiviti perlombongan tidak akan dibenarkan di kawasan Hutan Simpan Kekal,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Sembilan 2025 di sini hari ini.

Hari ini Utusan Malaysia menerusi berita muka hadapannya melaporkan, Malaysia berhadapan laluan sukar untuk melombong sumber unsur nadir bumi kerana sebahagian besar bahan galian itu berada di kawasan HSK.

Jika kerajaan mengambil keputusan untuk memanfaatkan sumber galian itu maka hutan simpan terbabit perlu dinyahsenarai terlebih dahulu sekurang-kurangnya untuk tempoh sementara bagi membuka jalan kepada kerja-kerja melombong.

Sementara itu, beliau berkata, dua projek perlombongan REE bukan radioaktif di Jelebu dijangka menjadi projek rintis di negeri ini dan dijangka mula beroperasi awal tahun depan.

Aminuddin berkata kedua-dua kawasan berkenaan telah diluluskan bagi aktiviti perlombongan.

“Dua tempat yang saya maklumkan sejak awal iaitu di Jelebu sudah mendapat kelulusan untuk melakukan aktiviti perlombongan hasil REE dan dijangka bermula seawal awal tahun depan,” katanya.

Tambahnya, selain dua kawasan di Jelebu, satu lagi kawasan di Tampin sedang dalam proses permohonan dan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi mendapatkan kelulusan melombong REE.

“Secara keseluruhan, kita ada dua kawasan di Jelebu dan satu di Tampin yang sedang dalam proses permohonan. Kalau mereka sudah buat kajian, itu bermakna kawasan tersebut berpotensi untuk perlombongan REE,” katanya.

Aminuddin turut memaklumkan terdapat satu lagi projek REE milik syarikat swasta di Jelebu.

Difahamkan, kawasan perlombongan REE di Jelebu melibatkan tanah milik kerajaan manakala di Tampin membabitkan tanah milik individu.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN