MyGig sedia jadi orang tengah selesai isu industri gig - Utusan Malaysia

MyGig sedia jadi orang tengah selesai isu industri gig

WAN ROSDY Wan Ismail (tiga dari kanan) menyempurnakan majlis Penubuhan MyGiG Chapter Sabah di Sandakan, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SANDAKAN: Majlis Ekonomi Gig Malaysia (MyGiG) bersedia berunding dengan pihak berwajib atau bertindak sebagai orang tengah dalam usaha menyelesaikan pelbagai isu yang membelenggu penggiat industri gig di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, langkah itu penting bagi memastikan suara komuniti gig didengar secara rasmi, sekali gus membolehkan penyelesaian yang lebih adil dan menyeluruh dirangka bersama kerajaan serta pihak berkepentingan.

Beliau berkata, MyGig mempunyai keahlian yang pelbagai, bukan sahaja terdiri daripada penggiat e-hailing dan p-hailing, tetapi turut merangkumi vendor-vendor serta operator yang terlibat secara langsung dalam ekosistem industri gig.

“Ini membuktikan MyGig bukan sekadar mewakili pemandu dan penghantar makanan, tetapi keseluruhan rantaian industri gig yang semakin berkembang. Suara mereka perlu diangkat dan diberi perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, kira-kira 200 pemandu e-hailing, penghantar p-hailing dan penggiat terapi tradisional hadir pada Penubuhan MyGiG Chapter Sabah yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Mohd. Sharkar berkata, pelbagai isu pada ketika ini membelenggu penggiat industri gig antaranya kuota petrol 300 liter sebulan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang tidak mencukupi dan tekanan berganda apabila kadar tambang semakin menurun ekoran tiada harga lantai.

“Kita tak minta naik harga pun. Kita minta harga lantai supaya ia dikawal dan tidak terdedah kepada manipulasi atau persaingan yang tidak sihat.

“Selain itu, penggiat industri ini turut berdepan dengan kos operasi seperti insurans e-hailing yang meningkat mendadak,” katanya.

Atas faktor itu beliau berkata, kerajaan perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai badan pemantau dan pemacu dasar yang lebih menyeluruh, selaras dengan kepentingan sektor gig yang semakin berkembang.

“Kita sudah pun ada Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat. Namun, RUU itu masih lagi tidak mampu melindungi sepenuhnya lebih 1.2 juta penggiat gig.

“Penubuhan SEGiM akan membolehkan dasar berkaitan ekonomi gig dirangka secara lebih holistik, merangkumi aspek perlindungan sosial, pembangunan kapasiti, dan keadilan ekonomi untuk jutaan rakyat yang bergantung kepada pekerjaan fleksibel,” katanya.

Beliau berkata, MyGig akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan dasar tersebut berjalan lancar dan memberi manfaat sebenar kepada komuniti pekerja gig di seluruh negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN