KANGAR: Jumlah tunggakan cukai taksiran Majlis Perbandaran Kangar (MPK) yang masih belum dikutip sejak tempoh tujuh tahun kebelakangan ini mencecah lebih RM20 juta.
Cukai taksiran di negeri ini juga tidak pernah dinaikkan sejak tahun 1980-an, malah kadar ditetapkan itu adalah merupakan antara yang terendah di Malaysia.
Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth berkata, kadar tunggakan cukai taksiran tertinggi yang direkodkan adalah berjumlah RM7.8 juta melibatkan tempoh lebih lima tahun.
Beliau berkata, pada masa ini, fokus pihak berkuasa tempatan (PBT) itu adalah mengutip semua jumlah tunggakan dan tiada sebarang perbincangan dilakukan berhubung kenaikan kadar cukai berkenaan.
“Tiada sebarang perbincangan buat masa ini berhubung kenaikan cukai taksiran dan MPK hanya ingin fokus mengutip jumlah tunggakan yang sekian lama tidak dilunaskan itu.
“Selain itu, penyata bancian pemilik/penduduk yang dilaksana MPK secara berperingkat sejak enam bulan adalah untuk semakan pelbagai aspek penghuni bagi kemaskini maklumat dan bukan untuk kenaikan cukai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Untuk rekod, kadar semasa cukai taksiran di negeri ini adalah RM8 untuk kawasan kampung/bandar, RM11 bagi kawasan perumahan dan RM13 untuk perniagaan/perusahaan.
Affendi berkata, berikutan kegagalan mengutip tunggakan cukai taksiran itu, MPK sebelum ini turut menerima teguran Jabatan Audit Negara.
“MPK bukannya kejam namun hutang perlu dibayar dan kita juga cuba atasi perkara ini dengan melantik pengutip cukai bagi mendapatkan bayaran tunggakan,” katanya.
Affendi berkata, cukai taksiran di Perlis yang terendah di negara ini sudah lama tidak disemak memandangkan untuk melaksanakan sebarang kenaikan memerlukan kelulusan kerajaan negeri.
“Keputusan bagi sebarang kenaikan caj atau bayaran perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum dilaksanakan oleh MPK. Mana-mana PBT tidak boleh menaikkan kadar bayaran atau caj tertentu tanpa kelulusan daripada kerajaan negeri.
“Malah, semua keputusan melibatkan dasar juga akan dibentangkan terlebih dahulu kepada ahli majlis semasa mesyuarat penuh,” katanya.-UTUSAN










