Melaka, KL mara ke pusingan kedua

Melaka, KL mara ke pusingan kedua

Mohd. Azlan Alias melakukan hadangan daripada rejaman Amirul Farabi Shaifudin dalam aksi Melaka menentang KPM-MSSM di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tuan rumah Melaka mengesahkan tempat ke pusingan kedua di Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali Edisi Ke-4 berlangsung di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit, malam ini.

Gandingan Pongsatorn Phong-Udtha (tekong), Mohd. Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Raqib Affendi (apit kiri) tidak menghadapi masalah menang mudah 2-0 ke atas KPM-MSSM.

Kejayaan menewaskan KPM-MSSM 15-6 dan 15-8 memastikan Melaka meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan F selepas semalam menundukkan Penjara 2-0 dengan keputusan 15-6, 15-6.

Jurulatih Melaka, Khairul Anuar Ibrahim berkata, beliau yakin pasukan bimbingannya mampu melangkah ke final Ahad ini.

“Dua kemenangan di peringkat kumpulan bukan ujian sebenarnya dan kita melihat pasukan mana akan kita hadapi di pusingan kedua nanti,” ujarnya selepast tamat perlawanan.

Juara bertahan Kuala Lumpur lebih awal mengesahkan tempat
ke pusingan kedua apabila mudah menewaskan Pulau Pinang 15-8 dan 15-12.

Pulau Pinang yang tewas bagaimanapun turut mengiringi Kuala Lumpur ke pusingan kedua kerana terdapat hanya dua pasukan dalam kumpulan A.

Pasukan bukan pilihan, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan KPT-Masum 2-0 menerusi kemenangan 15-13 dan 15-11.

Skuad yang diterajui tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi bersama killer dari Thailand, Aekkasit Naphom dan Amirul Zazwan Amir (apit kiri) sebelum ini menewaskan Sabah 2-0 untuk menerajui Kumpulan E.

Selangor juga turut mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas gandingan Zuhri Mohd. Zin (tekong), Mohamad Salman Anuar (apit kanan) dan Jefri Ahmad (apit kiri) terpaksa berhempas pulas menang ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM)
2-1 hasil kemenangan 17-15, 2-15 dan 15-13.

Pada perlawanan pertama pasukan itu menang mudah ke atas Johor 2-0 menerusi keputusan 15-10 dan 15-9 dan muncul juara Kumpulan D.

Sementara itu juara 2023, Perak menepati ramalan walaupun terpaksa berhempas pulas menundukkan Pahang 2-1 dalam perlawanan Kumpulan B.

Perak yang dibarisi killer kebangsaan, Muhammad Noraizat Mohd. Nordin, Kritsada Sungvung (tekong) dan Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) menang 15-17, 15-10 dan 17-15. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN