PETALING JAYA: Situasi banjir terus menunjukkan peningkatan apabila jumlah mangsa terjejas mencecah 32,614 orang semalam berbanding 30,059 mangsa kelmarin.
Kesemua mereka kini berada di 212 buat pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di tujuh buah negeri terjejas iaitu Kelantan, Perlis, Perak, Selangor, Kedah, Terengganu dan Pahang.
Menurut laporan situasi terkini Pusat Pengurusan Bencana Negara setakat pukul 7 petang, semua mangsa tersebut melibatkan 10,692 buah keluarga.
Katanya, trend keseluruhan menunjukkan peningkatan berterusan jumlah mangsa khususnya di kawasan utara dan pantai timur.
Mangsa banjir di Kelantan kini mencecah seramai 9,181 orang dengan melibatkan 3,404 keluarga yang berlindung di 60 pusat pemindahan sementara (PPS).
Di Perlis pula, sebanyak 7,535 mangsa ditempatkan di 23 PPS dengan jumlahnya dijangka terus meningkat.
Di Perak, 5,039 mangsa ditempatkan di 42 buah PPS, dengan trend meningkat di Manjung, Hilir Perak, Bagan Datuk dan beberapa daerah lain.
Selangor merekodkan seramai 2,477 mangsa di 14 buah PPS, terutamanya di Kuala Selangor, Klang, Petaling dan Sabak Bernam.
Kedah mencatat jumlah 4,293 mangsa, kebanyakannya di Kubang Pasu dengan 21 buah PPS masih aktif.
Terengganu merekodkan 4,070 mangsa, majoritinya di Besut dan Marang, dengan trend meningkat di Besut.
Di Pahang pula 21 mangsa dicatatkan di Lipis dengan hanya lapan buah keluarga ditempatkan di sebuah PPS.-UTUSAN.










