Malaysia jadi pemudah cara

Malaysia jadi pemudah cara

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada Sidang Kemuncak G20 di Johannesburg, Afrika Selatan, kelmarin. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penglibatan Malaysia dalam isu ketegangan politik antara Thailand dan Kemboja tidak lebih daripada sebagai pemudah cara rundi­ngan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan itu dimainkan berikutan kedudukan negara sebagai jiran yang rapat dan dipercayai.

Namun, tegas beliau, Malaysia tidak pernah menentukan cara Bangkok dan Phnom Penh menyelesaikan isu antara ke­dua-dua negara itu.

“Biar saya jelaskan. Pertama, sebagai negara jiran, sudah tentu kita prihatin (mengenai pertikaian itu), tetapi kita tidak terbabit.

“Kita hanya memudah cara untuk membantu mereka mencapai penyelesaian. Kita tidak memberikan sebarang cada­ngan khusus mengenai bagaimana mereka perlu menyelesaikan isu terbabit,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Afrika Selatan.

Perdana Menteri berkata, usaha Malaysia berpandukan kepercayaan kukuh kedua-dua negara terhadap Putrajaya sebagai rakan yang dapat membantu membuka saluran komunikasi apabila diperlukan.

“Kita hanya mempertemukan ketua angkatan tentera mereka. Saya juga menghubungi kedua-dua perdana menteri mereka dan meminta mereka berbincang.

“Sudah tentu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga berbincang dengan mereka dan saya berhubung dengan ke­dua-dua pihak berkenaan kerana Malaysia dianggap sebagai rakan,” katanya.

Anwar berkata, adalah tidak tepat bagi sesiapa di Thailand menggambarkan peranan Malaysia sebagai satu campur tangan.

“Saya tidak tahu pertimba­ngan politik dalaman mereka, tetapi untuk mencadangkan bahawa kita campur tangan adalah tidak benar, tidak mungkin kita masuk campur,” katanya.

Beliau berkata, Thailand dan Kemboja mempunyai legitimasi, keupayaan dan hak kedaulatan untuk menyelesaikan masalah negara itu sendiri dan Malaysia menghormati perkara itu sepenuhnya.

Bagaimanapun, Anwar berkata, beliau percaya topik ini akan menjadi perbincangan semasa lawatan rakan sejawatnya dari Thailand, Anutin Charnvirakul ke Malaysia.

“Lawatan itu ialah rundingan bersama yang biasa antara pe­mimpin dua negara, tetapi saya pasti beliau akan menyatakan perkara ini dan saya fikir selaras dengan pendiriannya, rakyat Thai tentunya mahu melindungi sempadan mereka.

“Saya akan mendengar pandangan beliau dan memudah cara jika perlu, namun yang penting adalah untuk memastikan keamanan,” katanya.

Berhubung perkembangan lain, katanya, beliau telah bertemu dengan rakan sejawatnya dari Vietnam, Pham Minh Chính, yang mahu mempercepat Grid Tenaga ASEAN dari Vietnam ke Singapura. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×