Lelaki cedera ditikam kenalan di perut - Utusan Malaysia

Lelaki cedera ditikam kenalan di perut

TANGKAP layar satu rakaman video memaparkan kejadian mangsa ditikam suspek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang lelaki cedera ditikam di bahagian perut oleh kenalannya sendiri dalam kejadian di Kampung Sri Damai, Jalan Gambang, di sini, pada Jumaat lalu.

Difahamkan, suspek berang dengan mangsa yang dikatakan membuat laporan polis tentang kegiatan suspek menggunakan bahan terlarang

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, mangsa berusia 38 tahun ditikam menggunakan pisau sepanjang kira-kira 10 sentimeter oleh suspek dikenalinya.

“Suspek berusia 25 tahun datang ke rumah mangsa dan memanggilnya keluar dengan alasan kononnya ada rakan mahu berjumpa.

“Namun, apabila mangsa enggan mengikutnya, suspek bertindak mengeluarkan pisau dari belakang seluar dan menikam perut mangsa sebelum melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Menurut Ashari, mangsa kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan akibat luka tikaman tersebut.

Tambahnya, suspek yang tidak bekerja berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian oleh sepasukan anggota polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata tajam.

“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang dipercayai pernah membuat laporan polis berhubung kegiatan penyalahgunaan bahan terlarang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN