GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai krisis kelaparan yang semakin serius di timur Republik Demokratik Congo (DRC), di mana bilangan penduduk menghadapi tahap kecemasan hampir dua kali ganda sejak tahun lalu.
Program Makanan Sedunia (WFP) berkata, ia hanya mampu membantu sebahagian kecil daripada mereka yang memerlukan akibat kekurangan dana dan akses terhad, ketika krisis itu menjejaskan ribuan keluarga di rantau tersebut.
Pengarah WFP untuk DRC, Cynthia Jones berkata, agensi itu memerlukan AS$350 juta (RM1.4 bilion) untuk membantu mereka yang memerlukan di negara Afrika Barat itu.
“Kami berada pada tahap pembiayaan paling rendah dalam sejarah. Setakat tahun ini, kami hanya menerima kira-kira AS$150 juta (RM626 juta).
“Satu daripada tiga penduduk di wilayah timur DRC, Kivu Utara, Kivu Selatan, Ituri dan Tanganyika, menghadapi tahap krisis kelaparan atau lebih buruk. Itu bermakna lebih 10 juta orang,” katanya pada taklimat media di Geneva, kelmarin.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, tiga juta orang berada pada tahap kelaparan kecemasan yang membimbangkan, meningkat hampir dua kali ganda sejak tahun lalu.
Jones menjelaskan, peningkatan tersebut menunjukkan ramai penduduk kekurangan makanan dan menghadapi kekurangan zat yang serius, termasuk yang meninggal dunia akibat kelaparan.
Kawasan timur DRC bergelut dengan pertempuran sejak lebih setahun lalu, selepas kumpulan bersenjata M23, disokong Rwanda, kembali mengangkat senjata pada 2021.
Pertempuran itu sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan konflik yang sudah berlanjutan selama lebih tiga dekad di rantau tersebut.
Kumpulan bersenjata M23 melancarkan serangan pantas yang membolehkannya menguasai bandar utama timur, Goma dan Bukavu, berhampiran sempadan dengan Rwanda.- AL JAZEERA










