La Nina bawa hujan lebih tinggi di negeri Pantai Timur

La Nina bawa hujan lebih tinggi di negeri Pantai Timur

PENDUDUK di Taman Bendahara, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan mengharung banjir susulan hujan berterusan sejak kelmarin. – UTUSAN/BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Musim Monsun Timur Laut tahun ini dijangka membawa jumlah hujan lebih tinggi daripada biasa berikutan kehadiran fenomena La Nina sekali gus meningkatkan risiko hujan lebat dan banjir di beberapa negeri.

Pakar Klimatologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Emeritus Dr. Fredolin Tangang berkata, sepanjang monsun berkenaan sebanyak enam episod luruan sejuk dijangka berlaku dan keadaan itu lazimnya membawa hujan lebat terutama di negeri-negeri pantai timur.

Katanya, episod pertama luruan sejuk dapat dilihat melalui tiupan angin kencang dan hujan lebat yang melanda kawasan timur Vietnam, selatan Thailand serta bahagian utara Malaysia.

“Kawasan-kawasan yang terjejas akan berubah mengikut pergerakan palung monsun ke arah selatan. Pada Disember, kesan paling ketara dijangka dialami di Kelantan dan Terengganu.

“Apabila memasuki Januari, negeri-negeri seperti Pahang, Johor dan Sarawak pula lebih banyak terpengaruh. Sabah biasanya merasai impak lebih kuat pada Januari dan Februari,” katanya kepada Utusan Malaysia

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan melibatkan kawasan-kawasan tertentu di beberapa negeri antara 24 hingga 26 November ini.

Di Kelantan, amaran hujan bahaya diramal berlaku di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh sehingga 25 November.

Manakala hujan lebat berterusan tahap buruk sehingga tempoh sama turut dikeluarkan di Perlis; Kedah (Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Selain itu di Hulu Perak (Perak); Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai) dan Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.

Hujan berterusan (waspada) pula dijangka berlaku sehingga 24 November di Kedah (Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu); Pulau Pinang; Perak (Kerian, Matang, Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).

Menurut Fredolin, sepanjang musim ini, fenomena Ayunan Madden-Julian (MJO) juga harus diberi perhatian.

Beliau berkata, sekiranya MJO berada pada fasa tiga dan berlaku serentak dengan luruan sejuk, penumpuan kelembapan akan meningkat, seterusnya meningkatkan risiko hujan lebat berpanjangan dan banjir.

“Kemunculan pusaran Borneo dan lekukan tropika turut membawa potensi hujan lebat bukan sahaja di Pantai Timur, tetapi juga Pantai Barat seperti insiden banjir besar yang melanda Selangor dan Kuala Lumpur pada Disember 2021,” katanya.

Mengulas banjir yang menenggelamkan kawasan Hatyai baru-baru ini, Fredolin berkata, ia disebabkan sistem cuaca sama yang memberi kesan lebih awal kepada negeri-negeri utara kerana palung monsun masih berada di kawasan tersebut pada permulaan MTL.

“Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap ramalan cuaca METMalaysia dan ramalan banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Orang ramai juga dinasihatkan mengelakkan aktiviti luar berisiko seperti berkelah di sungai serta menjauhi kawasan yang terdedah kepada kejadian tanah runtuh,” katanya.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN