KPM kenalpasti kemusnahan sekolah di Perlis akibat banjir - Utusan Malaysia

KPM kenalpasti kemusnahan sekolah di Perlis akibat banjir

FADHLINA Sidek (tiga dari kanan) beramah mesra dengan salah seorang murid yang ditempatkan di PPS SK Changkat Jawi, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang mengenalpasti anggaran kemusnahan dialami sekolah-sekolah sekitar negeri ini yang terjejas dengan banjir.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kebanyakan kemusnahan dialami sekolah melibatkan infrastruktur di bahagian bawah seperi bengkel, makmal, dewan sukan dan bilik guru.

Beliau berkata, buat masa ini, KPM sedang membuat pemantauan agar penilaian berhubung kemusnahan itu dapat disegerakan bagi membolehkan proses pembaikan dilaksanakan.

“Jadi perkara ini akan ambil sedikit masa untuk kita laksanakan pembaikan agar sekolah dapat kembali dibuka seperti biasa,” katanya selepas meninjau mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jawi, di sini dan turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada waris ahli keluarga wartawan Perlis, Allahyarham Mohamad Asri Shafii.

Fadhlina berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) akan diteruskan buat masa ini memandangkan terdapat juga permohonan daripada sekolah-sekolah di negeri ini agar pelaksanaan itu diteruskan.

“Tempoh pelaksanaan PdPR itu juga bergantung kepada keadaan dan cuaca di negeri ini sebelum sebarang keputusan dibuat. PdPR ini tak ada masalah dan boleh diteruskan jika sehingga habis penggal, namun KPM masih bergantung kepada cuaca, keadaan semasa dan situasi di sekolah sebelum kembali beroperasi seperti biasa,” katanya.

Fadhlina berkata, KPM juga sentiasa bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan sekiranya berlaku gelombang kedua banjir di negeri ini.

Katanya, bencana banjir yang berlaku di negeri ini merupakan antara kejadian yang memberi impak besar kepada institusi pendidikan khususnya sekolah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN