BANGKOK: Thailand mengesahkan rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) akan diteruskan seperti yang dirancang, dan kekal berasingan daripada ketegangan sempadan terbaharu dengan Kemboja.
Sebelum ini, Kementerian Luar Thailand memaklumkan Washington menangguh sementara perbincangan sehingga Bangkok menegaskan semula komitmennya terhadap gencatan senjata dengan Kemboja.
Jurucakap kerajaan Thailand, Siripong Angkasakulkiat, memberitahu Bloomberg Presiden AS Donald Trump memberi jaminan kepada Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul, Washington ‘tidak mahu campur tangan dalam isu Thailand-Kemboja’ di bawah mekanisme dua hala sedia ada.
“Rundingan tarif akan diteruskan dan kekal berasingan daripada isu sempadan,” kata Siripong.
Kenyataan itu dibuat susulan panggilan telefon lewat malam Jumaat antara Trump dan Anutin, beberapa jam selepas jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, mengesahkan Bangkok menerima surat daripada Timbalan Wakil Perdagangan AS mengenai penangguhan sementara rundingan di bawah Perjanjian Rangka Perdagangan Timbal Balik.
Bulan lalu, Washington dan Bangkok mengumumkan rangka kerja untuk mengekalkan tarif 19 peratus ke atas produk Thailand dan mengenal pasti barangan yang boleh disesuaikan tarifnya.
Seorang terbunuh manakala tiga lagi cedera dalam pertempuran rentas sempadan antara Thailand dan Kemboja pada Rabu, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan, hanya beberapa hari selepas Thailand menggantung perjanjian damai.
Negara Asia Tenggara itu menandatangani perjanjian tersebut bulan lalu di Kuala Lumpur, dengan kehadiran Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada 28 Julai, Kemboja dan Thailand bersetuju untuk gencatan senjata tanpa syarat dalam pertemuan trilateral yang dianjurkan oleh Anwar susulan berminggu-minggu permusuhan.










