KUANTAN: Kerajaan negeri menyalurkan sumbangan wang tunai sebagai perbelanjaan buat pelumba cilik, Al-Adam Mikail Mohd. Hamirul Aliff, 11, yang bakal mewakili negara ke Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Valencia, Sepanyol, bulan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kerajaan negeri berbangga dengan pencapaian Al-Adam Mikail yang berjaya melangkah ke pentas dunia dalam sukan permotoran.
“Tahniah dan syabas kepada Al-Adam Mikail, pelumba cilik pertama dari Pahang yang akan bertanding mewakili negara di peringkat antarabangsa. Ini satu pencapaian yang cukup membanggakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Al-Adam Mikail dan bapanya, Mohd. Hamirul Aliff Abd. Halim, 33, di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS) di sini.
Menurut Fadzli, kerajaan negeri sentiasa menyokong bakat muda dalam bidang sukan permotoran kerana ia mampu membentuk karakter dan disiplin tinggi dalam kalangan generasi muda.
“Dalam tempoh hampir tiga tahun ini, kerajaan negeri sudah menyalurkan bantuan berjumlah RM18,000 kepada Al-Adam Mikail dan kita dapat lihat banyak kejayaan yang dicapai,” ujarnya.
Tambah beliau, penglibatan anak muda dalam aktiviti sukan seperti permotoran adalah lebih baik berbanding terlalu leka dengan gajet dan media sosial yang boleh memberi kesan negatif.
“Sukan permotoran menuntut disiplin, kesungguhan dan gaya hidup sihat. Kita mahu anak-anak muda terlibat dalam aktiviti yang membina, bukan sekadar permainan atas talian,” katanya.
Difahamkan, Al-Adam Mikail dan bapanya akan berlepas ke Valencia pada 5 November ini bagi sesi latihan dan penyesuaian jentera sebelum perlumbaan kategori 160cc yang dijadual berlangsung pada 14 November.
Mengulas persiapan ke Sepanyol, Al-Adam Mikail berkata, dia sudah menjalani latihan secukupnya dan bersedia memberikan aksi terbaik.
“Saya dah siap berlatih dan gembira kerana ini kali pertama ke Valencia. Saya akan cuba buat yang terbaik. Cuaca sejuk di sana mungkin ambil masa seminggu untuk saya sesuaikan diri,” katanya. – UTUSAN









