Kawal kecerdasan buatan dengan nilai – Sultanah Nur Zahirah

Kawal kecerdasan buatan dengan nilai, akhlak – Sultanah Nur Zahirah

SULTANAH Nur Zahira bergambar bersama para graduan sempena Majlis Konvokesyen UniSZA ke-17 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, Kuala Nerus, Terenggan semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dinasihatkan supaya tidak membiarkan diri mereka dikuasai kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) sehingga menjejaskan nilai, adab dan akhlak dalam kehidupan.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Tunku Canselor UniSZA bertitah, dalam era moden yang sarat dengan ledakan teknologi, manusia perlu menjadi pihak yang mengawal dan memandu penggunaan AI supaya tidak tersasar daripada landasan kemanusiaan.

“Kita hidup dalam era tek­nologi kecerdasan buatan yang mendominasi sistem ekonomi, kesihatan dan pendidikan bahkan pentadbiran negara. Namun, apakah manusia mengawal teknologi dengan nilai, adab dan akhlak?” titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-17 UniSZA di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, di sini semalam.

Baginda bertitah, graduan UniSZA perlu memanfaatkan kecanggihan teknologi bukan sekadar untuk kemudahan dan kemajuan tetapi demi kemaslahatan manusia sejagat.

Sultanah Nur Zahirah turut menasihatkan graduan UniSZA yang menjadi sebahagian daripada Khairul Ummah supaya menjadikan AI sebagai alat yang dapat mengangkat martabat manusia.

Sementara itu, baginda menzahirkan tahniah kepada pe­nerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan, Datuk Marina Chin@Chin Leng Sim serta Prof. Emeritus dalam Bidang Pengurusan Risiko, Dr. Ahmad Shukri Yazid.

Majlis sama turut menyaksikan dua pelajar, Che Wan Nur Damia Che Wan Roslan dari Fakulti Perniagaan dan Pengurusan serta Koh Wen Xuan dari Fakulti Biosumber dan Industri Makanan menerima Anugerah Pelajaran Diraja.

Seramai 4,215 graduan me­nerima ijazah dan diploma ma­sing-masing pada majlis kali ini.

Sementara itu, Marina, ber­kata, anugerah diterimanya bu­kan sekadar penghargaan peribadi sebaliknya simbol kepada perjuangan semua atlet dan penggiat sukan yang komi­ted membangunkan negara.

“Saya syukur dan berterima kasih atas pengiktirafan ini. Ia bukan sekadar untuk saya tetapi buat seluruh komuniti sukan, jurulatih, pegawai dan atlet yang telah bekerja keras demi kemajuan sukan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan da­lam sukan tidak berakhir di ga­risan penamat kerana setiap atlet masih boleh terus menyumbang selepas bersara melalui bidang kejurulatihan, pengurusan dan pendidikan.

Dalam pada itu, Che Wan Nur Damia berkata, perjalanan akademiknya bukan mudah terutama pada dua semester awal pengajian yang dijalankan secara dalam talian akibat Covid-19.

“Saya memang seorang yang pemalu dan kurang aktif pada mulanya. Tetapi saya belajar untuk keluar dari zon selesa dengan mula sertai kelab, program universiti dan akhirnya aktif dalam kepemimpinan pelajar. Daripada situ saya bina keyakinan diri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN