Karnival Ban Canal pemangkin ekonomi berterusan Sabak Bernam

Karnival Ban Canal pemangkin ekonomi berterusan Sabak Bernam

Karnival Ban Canal
AMIRUDIN Shari menyampaikan ucapan perasmian pada pelancaran Karnival Ban Canal 2025, di Sabak Bernam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Karnival Ban Canal akan terus diadakan secara tahunan sebagai sebahagian daripada pemangkin ekonomi penduduk di samping mempromosikan kawasan agro pelancongan di Sabak Bernam sehingga ke peringkat antarabangsa.

Ia dilihat memberi sumbangan kepada sektor pelancongan negeri apabila diiktiraf sebagai ‘Best Tourism Event’ dalam Majlis Anugerah Industri Pelancongan 2025 oleh Malaysia International Tourism Development Association (MITDA).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Sabak Bernam merupakan kawasan penting untuk pembangunan pelancongan berasaskan desa dan pertanian yang menjadikan faktor alam semula jadi sebagai elemen utama.

“Sabak Bernam merupakan lokasi paling utara di negeri ini, ia tidak akan terlepas daripada perhatian dan juga perancangan kerajaan negeri. Salah satu daripadanya adalah Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA),” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Ban Canal 2025, hari ini.

Karnival kali ini dianjurkan selama tiga hari bermula 7 November itu bertemakan ‘Alam, Budaya, Lestari’ yang menekankan sinergi antara pembangunan ekonomi, pemeliharaan warisan budaya dan kelestarian alam sekitar.

Penganjurannya kali ini oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan SABDA menyasarkan 20,000 pengunjung, pada tahun lalu karnival itu menerima kehadiran seramai 19,182  orang dengan nilai jualan daripada usahawan Platform Selangor (Plats) direkodkan lebih RM50,000.

Amirudin berkata, pada pembentangan Belanjawan 2026, terdapat projek pemangkin pembangunan di Sabak Bernam akan diumumkan.

Bagaimanapun, menurutnya pembangunan di kawasan tersebut akan mengekalkan aktiviti pertanian penduduk namun dalam masa sama memberi nilai tambah dalam meningkatkan potensi ekonomi setempat.

“Antaranya projek perumahan rakyat di Air Manis. Sebahagian besar (pertanian) kita akan kekalkan, tetapi lain yang memerlukan naik taraf kita akan lakukan. Contohnya tempat pendaratan ikan (di Sekinchan), itu sedia ada.

“Begitu juga aktiviti pertanian. Apa sistem sokongan kepada aktiviti pertanian? Itu contoh yang kita akan beri nilai tambah di Sabah Bernam khususnya dalam SABDA,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×