SHAH ALAM: Syarikat Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. (MECSB) bersedia menyerahkan tanah seluas kira-kira 2.8 hektar dan beberapa lot bagi menyelesaikan isu perobohan rumah penduduk dekat Kampung Papan, di Pandamaran, Klang.
Mereka dikatakan bersetuju menyerahkan tanah tersebut kepada kerajaan negeri sebagai penyelesaian kepada pembangunan penempatan semula penduduk di sana yang lebih teratur dan mampan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, sebagai penyelesaian awal, kerajaan negeri menawarkan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa kepada peneroka yang memerlukan dengan kadar berpatutan.
“Dengan tanah seluas tujuh ekar (2.8 hektar) yang akan diserahkan, kerajaan negeri kini berupaya merangka pembangunan bangunan kediaman pangsapuri sebagai penyelesaian jangka panjang kepada peneroka (penduduk) yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan lebih separuh penduduk yang diarahkan keluar dari rumah di kampung berkenaan adalah warga emas yang menetap di kawasan tersebut sekurang-kurangnya 40 tahun.
Sejak operasi hari pertama pada Isnin lalu, lebih 70 rumah sudah dirobohkan melibatkan 83 daripada 181 rumah yang masih berpenghuni. Namun, 44 rumah mendapat perintah penggantungan sementara (injunksi) yang akan disebut semula pada 8 Disember ini.
Jelas Borhan, isu pengosongan dan perobohan rumah penduduk di situ timbul apabila tanah seluas kira-kira 38.45 hektar di kawasan berkenaan diberi milikan kepada anak syarikat Bank Negara Malaysia (BNM), TPPT Sdn. Bhd pada 1995.
Bagaimanapun, namun pada 2003, Jawatankuasa Penduduk Jalan Papan membantah tawaran rumah kos rendah oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) ketika itu.
“Tahun 2008, notis perobohan dikeluarkan, namun tindakan tersebut ditangguhkan bagi memberi ruang rundingan semula antara penduduk dan pihak berkepentingan.
“Pada 2018, kerajaan negeri menetapkan supaya MECSB menyediakan komponen Rumah Selangorku sebagai sebahagian daripada pelan penyelesaian kepada peneroka berdafar. Kemudian beberapa siri rundingan juga dilaksanakan antara kerajaan negeri, pemaju dan wakil penduduk,” jelasnya.
Katanya lagi, kemudian pada 2020, MECSB memfailkan saman pengosongan terhadap peneroka sebelum Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) menawarkan rumah teres berharga RM99,000 dan Rumah Selangorku Jenis B berkeluasan 800 kaki persegi.
Namun, pada 2025, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengesahkan perintah pengosongan (bailif execution) terhadap 48 peneroka yang hadir ke mahkamah. – UTUSAN










