SHAH ALAM: Keputusan mesyuarat antara kerajaan negeri dengan pemaju dan wakil penduduk berkenaan arahan perobohan rumah tidak berpenghuni dekat Kampung Papan di Pandamaran, Klang tidak mengatasi perintah mahkamah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan yang dicapai pada mesyuarat 21 Oktober lalu dilaksanakan pada hari pertama dan kedua operasi penyampaian bailif mahkamah dengan merobohkan rumah tidak berpenghuni.
Menurutnya, bagaimanapun perintah mahkamah yang mengarahkan keseluruhan kawasan itu dikosongkan tetap dilaksanakan dan ia merupakan pemisahan kuasa antara eksekutif dengan kehakiman.
“Kita ada konsep pemisahan kuasa perundangan, eksekutif dan kehakiman. Jadi keputusan kehakiman itu membuktikan tanah itu milik (pemaju). Kecuali kerajaan negeri hendak membeli tanah tersebut, ia terlalu besarlah (mahal).
“Apa yang berlaku, kerajaan negeri cuba bantu, dalam penggal-penggal lepas pun kita (cadang) sediakan tanah hendak bangunkan (rumah kos rendah) dan sebagainya tetapi usaha itu tidak berjaya dan akhirnya sampai kepada keputusan mahkamah,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan Belanjawan Selangor 2025, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan syarikat Melati Ehsan Consolidated Sdn. Bhd. (MECSB) bersedia menyerahkan tanah seluas kira-kira 2.8 hektar dan beberapa lot bagi menyelesaikan isu perobohan rumah penduduk dekat Kampung Papan, di Pandamaran, Klang.
Mereka dikatakan bersetuju menyerahkan tanah tersebut kepada kerajaan negeri sebagai penyelesaian kepada pembangunan penempatan semula penduduk di sana yang lebih teratur dan mampan.
Amirudin berkata, pemaju kemudian bersetuju untuk menyerahkan tanah seluas kira-kira 2.8 hektar untuk dibangunkan oleh kerajaan negeri bagi peneroka-peneroka Kampung Papan menerusi pertemuan dengan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pagi tadi.
“PNSB akan bangunkan rumah mampu milik, sampai tahap itu kita bantu sediakan. Tetapi hendak tunggu bangunan baharu siap baru mereka boleh duduk akan mengambil masa. Sebab, ia melibatkan pembangunan menyeluruh.
“Untuk sementara dua atau tiga tahun, mereka boleh duduk di rumah Skim Smart Sewa. Kalau ada masalah kewangan tak apalah, kita bincang kemudian,” ujarnya. – UTUSAN










