KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang mengumpul maklum balas mengenai cadangan menaikkan had umur persaraan wajib bagi penjawat awam kepada 65 tahun sebagaimana yang tercatat dalam dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima pelbagai pandangan mengenai cadangan itu hasil libat urus dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia.
Katanya, lihat urus itu bertujuan mendapatkan maklumat awal kerana perkara tersebut diluar kebiasaan dan memerlukan satu kajian serta penelitian yang lebih rapi.
“Biasanya hasil maklum balas yang diterima ada baik dan buruknya. Ada yang bersetuju dan tidak.
“Cuma peringkat awal, kita akan lihat daripada pelbagai perspektif dan sudut untuk pastikan apa jua keputusan memberi implikasi yang baik kepada penjawat awam dan negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Pesara dan Lawatan Kerja di Min House Camp, di sini hari ini.
Wan Ahmad Dahlan memberitahu, perkara tersebut masih dalam peringkat kajian yang masih memerlukan penelitian rapi supaya langkah yang diambil mampu memberikan manfaat kepada semua pihak.
Katanya, beliau berharap semua pihak dapat besar menunggu keputusan tersebut.
Utusan Malaysia 21 Ogos lalu melaporkan, cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun akan dikaji secara menyeluruh, berfakta dan bersandarkan kepentingan nasional.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, semua pihak wajar memberi ruang kepada pihaknya untuk menjalankan kajian komprehensif sebelum membuat sebarang kesimpulan berhubung isu tersebut yang bakal memberi kesan langsung kepada landskap tenaga kerja sektor awam.-UTUSAN










