KOTA BHARU: Polis sudah mengenal pasti dan memantau beberapa individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah di negeri ini.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, kesemua mereka itu berada dalam pemerhatian pihakya untuk diambil tindakan termasuk proses siasatan.
Katanya, kebanyakan sindiket itu sudah lama bergiat aktif mengedarkan bahan terlarang melibatkan semua jenis dadah termasuk pil kuda dan syabu.
“Di Kelantan hanya ada sindiket sahaja tidak melibatkan kartel dadah. Kartel dia besar melibatkan luar negara.
“Buat masa ini kami tidak dapat mendedahkan latar belakang individu sudah yang dikenal pasti terlibat dengan sindiket berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof memberitahu, pada masa sama Polis Kelantan turut memantau individu yang mempunyai perniagaan besar dan pelik sehingga mempunyai kemewahan melampau.
Katanya, ia bertujuan mengenal pasti sama ada individu tersebut terlibat dengan sidiket pengedaran dadah atau sebaliknya.
“Hasil tangkapan melibatkan sindiket yang dilakukan mendapati, kita (polis) berdepan kesukaran untuk mendapatkan maklumat bagi menjejak dalang utama sindiket pengedaran dadah.
“Hal ini kerana individu terlibat tidak mengenali mereka berada di lapisan atas. Ada dalam kalangan yang ditangkap itu hanya mengambil upah sebagai penghantar. Bila soal siasat dilaukan, kita sukar mendapat maklumat sebab mempunyai banyak lapisan,” ujarnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan, kartel terbesar didakwa beroperasi secara bebas tanpa diambil sebarang tindakan sejak 20 tahun lalu.










