Hadkan bantuan, Israel langgar undang-undang antarabangsa - UNRWA

Hadkan bantuan, Israel langgar undang-undang antarabangsa – UNRWA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Israel terus melanggar undang-undang antarabangsa apabila masih mengenakan sekatan terhadap kemasukan bantuan ke Gaza, sekali gus menyebabkan penduduk wilayah itu berdepan kekurangan makanan serta barangan penting ketika musim sejuk semakin hampir, kata seorang pegawai kanan Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Dalam satu wawancara semasa lawatan ke Brussels baru-baru ini, Timbalan Pesuruhjaya UNRWA, Natalie Boucly menegaskan seluruh dunia, termasuk Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) perlu meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Israel bagi memastikan aliran bantuan ke Gaza dapat berjalan tanpa sekatan.

Beliau memaklumkan UNRWA mempunyai bekalan makanan, khemah dan pelbagai keperluan asas yang mencukupi untuk dimuatkan ke dalam sehingga 6,000 lori.

“Ketika musim sejuk hampir tiba dan kebuluran terus menghimpit penduduk Gaza, adalah kritikal semua bantuan ini dibenarkan masuk tanpa sebarang kelewatan.

“Bekalan kami mampu menampung makanan untuk seluruh penduduk selama kira-kira tiga bulan. Namun semuanya masih tersadai di Jordan dan Mesir, tidak dapat memasuki Gaza disebabkan sekatan yang masih dikenakan,” ujarnya.

Menurut Boucly, hanya sekitar separuh daripada keperluan 500 hingga 600 lori sehari dibenarkan memasuki wilayah yang musnah itu.

Beliau menegaskan Israel sebagai kuasa pendudukan jelas tidak mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta undang-undang hak asasi manusia, termasuk Konvensyen Geneva Keempat dan pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menuntut Israel memastikan rakyat Palestin menerima keperluan asas kehidupan.

ICJ dalam keputusan pada 22 Oktober turut menetapkan Israel mempunyai kewajiban bekerjasama dengan UNRWA dan mahkamah itu tidak menemukan bukti dakwaan Israel mengenai agensi tersebut telah dimasuki oleh ejen Hamas atau sebilangan besar kakitangannya adalah ahli kumpulan tersebut.

Israel sebelum ini memutuskan hubungan diplomatik dengan UNRWA atas tuduhan berkenaan.

ICJ bagaimanapun menyatakan hanya sembilan kakitangan UNRWA diberhentikan kerja selepas siasatan awal mendapati kemungkinan penglibatan mereka dalam serangan 7 Oktober 2023, namun dakwaan Israel mengenai penyalahgunaan meluas fasiliti agensi terbabit tidak disokong oleh mana-mana bukti. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN