KUALA TERENGGANU: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Tuanku Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berkenan berangkat ke Majlis Hi-Tea Diraja sempena Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-17 yang berlangsung penuh istiadat di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) hari ini.
Turut berangkat, Duli Yang Teramat Mulia Yang Di-Pertuan Muda Terengganu dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama, Pro-Canselor UniSZA, Tan Sri Dato’ Dr. Mohd Yusof Haji Mohamed Nor, Yang Mulia Tunku Datuk Nooruddin Tunku Dato’ Sri Shahabuddin, serta Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam.
Majlis berprestij ini yang dihadiri lebih 250 tetamu termasuk 8 tetamu kehormat (VVIP) bersama pasangan menjadi platform mengiktiraf sumbangan dan sokongan rakan strategik universiti terhadap agenda kebajikan dan pembangunan sosial.
Dalam majlis berkenaan, Sultanah Nur Zahirah berkenan menerima persembahan sumbangan kewangan berjumlah RM100,000 daripada dua syarikat korporat iaitu EcoTwin Step Training & Consultancy Sdn Bhd dan Emas Chempaka Sdn melalui penyerahan mock-cheque sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan pesakit di bawah inisiatif Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA). Penyerahan tersebut disaksikan oleh Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli bin Adam.
Penyerahan mock-cheque dari syarikat EcoTwin Step Sdn Bhd dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Dr Hisham Dzakiria manakala Emas Chempaka oleh Pengarah Komunikasi EcoTwin Step, Abie Abdullah. Emas Chempaka adalah anak syarikat EcoTwin Step Sdn Bhd.
Objektif utama penganjuran majlis ini adalah mengiktiraf para penyumbang yang sentiasa menyokong inisiatif kebajikan pesakit, di samping menggalakkan lebih banyak penglibatan pihak industri, agensi dan individu dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Menurut Dato Dr Hisham Dzakiria, sumbangan ini bukan sahaja tugas tanggungjawab sosial korporat (CSR) EcoTwin Step Sdn Bhd, malah kami ingin menjadi sebahagian daripada sumber inspirasi buat rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu terutama dalam dunia perubatan yang semakin meningkat kosnya.
“EcoTwin Step bukanlah syarikat besar, kami masih baru tetapi dengan sedikit peruntukan yang ada buat CSR, kami berbesar hati dipanggil untuk terlibat dalam program murni anjuran Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) ini.
“Di EcoTwin Step, kami sering berpegang kepada kebajikan dan saling membantu kerana setiap dalam rezeki kita, pasti ada rezeki orang lain. Sedekah atau sumbangan begini tidak akan mengurangi harta kita secara hakikat kerana rezeki Allah sangat luas seperti langit tanpa sempadan.
“Kami berharap sedikit sebanyak sumbangan kami ini dapat mengurangkan beban pihak Tabung Kebajikan Pesakit Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA),” katanya.










