Duta Enclave milik kerajaan

Duta Enclave milik kerajaan

MAHKAMAH Persekutuan memutuskan kawasan Duta Enclave di Jalan Duta adalah milik kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Per­se­­kutuan memutuskan tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta dikenali sebagai Duta Enclave, adalah milik Kerajaan Malaysia dan tidak boleh dipertikaikan.

Mahkamah tertinggi negara itu semalam menolak permoho­nan Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. (Semantan) untuk ke­be­na­ran merayu keputusan Mah­kamah Rayuan yang memutus­kan tanah tersebut kekal men­jadi milik kerajaan selepas mem­be­narkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan.

Keputusan dibuat panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.

Panel tiga hakim berkenaan memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Semantan gagal memenuhi ambang (threshold) yang diperlukan dan tidak bermerit.

Semantan diwakili peguam Datuk Dr. Cyrus V Das manakala kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Hakim Hasnah ketika membaca penghakiman ringkasnya yang terakhir sebelum bersara secara rasmi hari ini berkata, permohonan untuk perintah mandamus (memaksa) bagi memindahkan kepentingan boleh daftar (registrable interest) hanya dibuat oleh Semantan pada tahun 2017, lapan tahun selepas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dibuat pada 2009.

“Berdasarkan fakta kes ini, kami berpendapat bahawa permohonan ini adalah berdasarkan fakta (fact-centric) dan tidak menimbulkan sebarang persoalan perlembagaan penting yang memerlukan isu tersebut diselesaikan atau dihujahkan serta dipertimbangkan lebih lanjut di hadapan Mahkamah Persekutuan.

“Perintah tahun 2009 adalah amat jelas dan tidak me­nimbulkan kekaburan. Oleh itu, kedua-dua permohonan kebenaran untuk merayu ini ditolak tanpa sebarang perintah berhubung kos,” kata Hakim Hasnah.

Sementara itu, Hakim Hanipah yang turut akan bersara pada minggu hadapan, turut menyatakan, hujahan Semantan yang menyatakan tanah berkenaan patut dipindahkan dan didaftarkan atas namanya adalah bertentangan dengan kedudukan undang-undang yang telah pun dimuktamadkan dalam perintah Mahkamah Tinggi.

“Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman tersebut tidak pernah mengeluarkan sebarang perintah yang mengarahkan pemindahan atau pendaftaran sedemikian. Sebaliknya, deklarasi tersebut hanyalah pengiktirafan terhadap kepentingan benefisial pemohon serta hak milikan bersesuaian terhadap kerajaan.

“Perintah tersebut tidak me­ngarahkan pemindahan atau pendaftaran tanah berkenaan atas nama pemohon.

“Oleh itu, Mahkamah Rayu­an telah membuat keputusan yang betul apabila memutuskan bahawa kepentingan pemohon kekal sebagai kepentingan be­nefisial dan bukan kepentingan boleh daftar,” ujar Hakim Hanipah dalam penghakiman menyokongnya yang terakhir.

Semantan memulakan tindakan undang-undang terha­dap kerajaan pada 1960 berhubung pampasan RM1.32 juta yang diperoleh hasil daripada pengambilan tanah tersebut untuk dibangunkan bagi pe­nempatan diplomat dan duta.

Pada 2003, Semantan mem­failkan pula saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.

Pada 2009, Pesuruhjaya Ke­hakiman Zura Yahya memu­tuskan bahawa Semantan mengekalkan kepentingan be­ne­fisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.

Pada 7 Ogos 2024, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada SESB selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.

Tanah terbabit yang terletak di lokasi utama Jalan Duta me­nempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN