SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menjangkakan untuk melaksanakan penjanaan tenaga melalui teknologi nuklear seawal lima tahun lagi sebagai sumber yang bersih dan boleh diperbaharui.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ketika ini kerajaan sedang membina kapasiti dan akan menghantar beberapa pegawai yang lahir daripada fakulti atau bidang kejuruteraan berkaitan nuklear.
Kita hendak rujuk kepada universiti tempatan, seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang sudah menghubungi saya untuk berinteraksi (berbincang mengenai penerokaan tenaga nuklear).
Sebenarnya bidang ini tidak diberikan penerokaan (pendedahan), saya jumpa sendiri pelajar kita di Universiti Tsinghua (China), mereka teroka sendiri. Kita melihat nuklear sebagai ‘sins sector’ yang tidak layak kita terokai.
Tetapi, pada masa depan kita kena bersedia kerana tidak mampu bergantung sepenuhnya dengan sumber bahan bakar. Ternyata tidak lestari berbanding (tenaga) nuklear,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mariam Abdul Rashid berkenaan perancangan kerajaan negeri dan anggaran tempoh pelaksanaan sepenuhnya sumber tenaga bersih menerusi tenaga nuklear.
Tambah Amirudin yang jug, beliau menegaskan isu keselamatan, kebocoran dan persepsi awam masih menjadi perkara utama yang perlu diperjelaskan.
Katanya, pengalaman negara luar seperti Jerman wajar dijadikan pengajaran.
“Saya bertemu perwakilan Jerman. Mereka beritahu ada desakan kuat kelompok hijau (pencipta alam sekitar)untuk hentikan tenaga nuklear atas prinsip tertentu. Namun selepas beberapa tahun, Jerman terpaksa membeli tenaga daripada Perancis yang menjana tenaga nuklear dan menyalurkannya ke negara lain.
“Itu pengajaran penting. Kita kena lihat nuklear bukan dari satu sudut sahaja, tetapi sebagai penghasilan tenaga yang bersih,” ujarnya.
September lalu, Utusan Malaysia melaporkan Selangor akan menghantar sepasukan pakar ke China tahun depan bagi mempelajari pembinaan dan pengoperasian stesen jana kuasa berasaskan nuklear sebagai sebahagian daripada pelan bekalan tenaga mesra alam atau boleh diperbaharui negeri ini.
Amirudin berkata, bagi pelaksanaan tersebut beliau mahu ia dimulakan dengan sumber manusia iaitu menghantar pakar sebagai pelawat di Tsinghua University dengan sebahagian pembiayaan ditaja oleh kerajaan negeri. – UTUSAN










