SHAH ALAM: Pembangkang Selangor mendakwa nilai kontrak antara Lembaran Prospek Sdn. Bhd. dengan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) bernilai RM2.94 bilion.
Kontrak tersebut melibatkan MBI dengan syarikat milikan penuh oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu berdasarkan Surat Setuju Terima yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan MBI pada 16 Mei lalu.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, nilai kontrak tersebut menimbulkan persoalan berkenaan kemampuan MBI dari segi kewangan untuk membangunkan semula KSSA dengan kontrak bernilai hampir RM3 bilion itu.
Menurutnya, ia tidak termasuk kadar faedah lapan peratus pada kos kewangan bernilai RM211 juta yang perlu dibayar oleh MBI.
“RM2.94 bilion tidak termasuk cukai yang akan dikenakan oleh pihak berkuasa yang pastinya akan melonjakkan nilai projek KSSA melebihi RM3 bilion.
“Apakah kerajaan negeri menyedari consultancy fees (yuran perundingan) sahaja mencecah RM287 juta atau 10.5 peratus daripada nilai kontrak. Siapa yang meraih keuntungan sebesar itu? Mengapa MBI bersetuju membayar lapan peratus kepada MRCB,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2026, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Dedahnya lagi, kerajaan negeri dikatakan masih dalam proses mengenal pasti sumber pembiayaan yang bersesuaian sama ada melalui pinjaman terus daripada institusi kewangan atau kaedah penajaan.
Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan kerja-kerja peringkat awal pembinaan kompleks baharu Stadium Shah Alam bermula antara Oktober hingga November ini selepas proses perincian reka bentuknya selesai.
CEO Kumpulan MBI, Datuk Saipolyazan M. Yusop berkata, proses tersebut adalah fasa seterusnya selepas kerja-kerja perobohan selesai beberapa hari sebelum jangkaan pada 30 Jun lalu.
Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang berkata, kerajaan negeri masih belum menyatakan sama ada tanah-tanah sudah dikenal pasti bagi melaksanakan kaedah land-swab sebagai kaedah pembayaran kepada MRCB.
“Dewan ini juga ingin mengetahui apakah nilaian tanah-tanah yang terlibat? Apakah tanah-tanah yang terlibat adalah Tanah Rizab Melayu? Sekiranya ya, apakah pembatalan dan penggantian sudah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN),” soalnya. – UTUSAN










