DUN Selangor: Belanjawan terlalu tumpu bandar - Nurul Syazwani

DUN Selangor: Belanjawan terlalu tumpu bandar – Nurul Syazwani

PPR Lembah Subang 1
NURUL SYAZWANI NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Belanjawan Selangor 2026 didakwa tertumpu di kawasan bandar apabila majoriti peruntukan dan projek pembangunan lebih bertumpu kepada kawasan sedemikian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang-PN, Nurul Syazwani Noh berkata, perkara itu menyebabkan kawasan seperti Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Sungai Besar terus ketinggalan dalam peluang ekonomi dan infrastruktur asas.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak seharusnya hanya tertumpu sekitar Subang Jaya, Shah Alam dan Petaling Jaya, sedangkan penduduk kawasan luar bandar masih bergelut dengan isu banjir, pembangunan perlahan serta peluang pekerjaan yang terhad.

Malah, beliau turut membangkitkan isu perumahan apabila 166 projek sakit, 20,734 unit terbengkalai dan 1,302 unit Rumah Selangorku berstatus sakit direkodkan di seluruh negeri. 

“Angka itu tidak selari dengan usaha kerajaan memperkenal lebih banyak skim baharu seperti Smart Sewa dan program perumahan rakyat,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Selangor 2026, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Tambah Nurul Syazwani, beliau mencadangkan kerajaan negeri melaksanakan moratorium rasmi negeri bagi membantu pembeli projek sakit menangguhkan faedah, membekukan progress billing meragukan dan menyusun semula pinjaman tanpa kos kepada kerajaan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan dana sokongan guaman bagi membantu pembeli Rumah Selangorku mengambil tindakan terhadap pemaju culas serta menuntut Liquidated Ascertained Damages (LAD) secara lebih teratur.

Dalam isu pendidikan, Ketua Penerangan Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan kriteria agihan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) yang didakwanya terlalu longgar sehingga membuka ruang kepada keluarga berpendapatan tinggi. 

“Saya mencadangkan kuota minimum 60–70 peratus diperuntukkan kepada pelajar B40 dan luar bandar,” ujarnya.

Sementara itu, Syazwani turut membangkitkan isu inap desa di tanah pertanian yang menurutnya terhimpit prosedur lesen tidak seragam serta syarat pemutihan yang terlalu menekan pengusaha kecil.

Beliau menegaskan bahawa dasar kerajaan negeri perlu lebih seimbang antara keperluan bandar dan luar bandar agar pembangunan Selangor tidak terus mengabaikan komuniti desa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN