SHAH ALAM: Keseluruhan sebanyak 57 projek tebatan banjir melibatkan 39 di bawah kerajaan negeri dan 18 dibiayai Kerajaan Persekutuan masing-masing bernilai RM383.35 juta dan RM3.462 bilion dilaksanakan di negeri ini.
Di bawah kerajaan negeri, 34 projek bernilai RM241.6 juta sudah pun siap sementara selebihnya sedang dalam pelaksanaan termasuk 18 projek kerajaan persekutuan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, selain itu terdapat 127 langkah kerja segera oleh kerajaan negeri bernilai RM27.94 juta turut dilaksanakan dan sebahagiannya sudah pun siap dalam tempoh dua bulan lalu.
“Ia melibatkan korekan sungai, kolam takungan, pengukuhan ban dan sebagainya, melibatkan semua daerah.
“Antara langkah lain, 50 kerja-kerja mitigasi banjir berjumlah RM14.1 juta menggunakan peruntukan negeri yang melibatkan pengukuhan tebing sungai, pemuliharaan sungai dan pantai serta kerja-kerja penyelenggaraan rumah pam dan pintu air. Ia sedang dilaksanakan dan sebahagiannya sudah siap,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Tambahnya, kerajaan negeri sedang melakukan perubahan di bawah pelan induk air iaitu merancang dan memantau penggunaan air di Selangor sama ada mentah, terawat atau kumbahan secara holistik sama ada dalam keadaan banjir atau kemarau.
“Kita jangka akan siap pertengahan tahun hadapan kajiannya, ia akan membantu dari segi perancangan masa depan di Selangor termasuk banjir,” ujarnya.
Izham yang juga ADUN Pandan Indah itu turut menjawab soalan tambahan daripada ADUN Meru, Mariam Abdul Rashid berkenaan penyelenggaraan berjadual terhadap parit tidak bertuan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, kerajaan negeri sudah pun menetapkan dasar bagi penyelenggaraan tersebut dengan menyerahkan tanggungjawabnya kepada jabatan-jabatan yang sepatutnya.
“Untuk penyerahan kepada semua jabatan berkaitan tentang parit tak bertuan, yang mana dasarnya kalau parit tak bertuan itu menghubungkan ke anak sungai itu di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, kalau menghubungkan ke parit monsun, itu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Itu kita sudah putuskan dan kita akan buat penyerahan secara berperingkat mulai tahun depan. Kita masih laksanakan lagi one-off itu,” jelasnya.
Katanya lagi, sebanyak 360 kilometer (km) parit tidak bertuan sudah dikenal pasti berbanding 500 km sebelum ini selepas pertindihan yang berlaku diselesaikan dan peruntukan sebanyak RM5 juta diluluskan untuk meneruskan penyelenggaraannya tahun depan. – UTUSAN










