Dulang emas: Umum dulu, kaji kemudian bukti Kerajaan Kelantan lemah urus hasil bumi - Utusan Malaysia

Dulang emas: Umum dulu, kaji kemudian bukti Kerajaan Kelantan lemah urus hasil bumi

PELAJAR Universiti Malaysia Kelantan mencuba aktiviti mendulang emas di Batu Melintang, Jeli, Kelantan sekitar tahun 2019 lalu.-IHSAN UMK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Kerajaan Kelantan membenarkan rakyat negeri ini mendulang emas menerusi kaedah ‘umum dulu, kaji kemudian’ membuktikan kelemahan pentadbiran dalam mengurus hasil bumi di serambi Mekah.

Koordinator Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) Nizam Muhammad berkata, keputusan itu dibuat tanpa menyiapkan terlebih dahulu syarat pelesenan dan mekanisme penguatkuasaan sebagaimana pengumuman yang dibuat ketika Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Semasa Sidang DUN, kerajaan negeri memaklumkan bahawa syarat-syarat lesen masih lagi diteliti dan belum dimuktamadkan. Keputusan ‘umum dulu, kaji kemudian’ itu dibimbangi boleh mengundang pelbagai implikasi kepada hasil negeri dan kelestarian alam sekitar.

“Sebagai kerajaan yang sudah mentadbir Kelantan lebih 30 tahun, budaya ini (umum kebenaran dulu, kaji syarat kemudian) tidak sepatutnya timbul, apatah lagi pimpinan yang utama kerajaan negeri yang masih berpeluang menjadi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri lebih dari dua penggal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nizam memberitahu, walaupun pengumuman kebenaran mendulang emas khusus untuk rakyat Kelantan itu mendapat respon positif, tetapi tindakan kerajaan negeri cukup mengecewakan.

Katanya, AZAM Kelantan mendesak kerajaan negeri supaya membuat kajian syarat pelesenan secepat mungkin dan mengumumkan garis panduan yang lebih jelas sebelum keputusan dibuat.

“Jika kerajaan negeri menetapkan syarat yang jelas serta menetapkan mana-mana unit untuk pemantauan dan penguatkuasaan sebelum pengumuman, ianya dalam mengelakkan orang awam mendulang emas dalam keadaan melanggar alam sekitar. 

“Begitu juga sekiranya harga lesen telah ditetapkan, maka kerajaan negeri dapat mengutip hasil dari kebenaran tersebut, untuk simpanan perbendaharaan negeri bagi melaksanakan projek infrastruktur lain yang masih tergendala,” ujarnya.

Nizam berkata, beliau bimbang tiada syarat aktiviti perlombongan haram akan berselindung di sebalik aktiviti mendulang emas.

Katanya, Azam Kelantan turut bimbang aktiviti itu boleh memberikan impak buruk pada alam sekitar.

Utusan Malaysia 10 November lalu melaporkan, Kerajaan Kelantan akan membenarkan rakyat di negeri ini melombong emas menggunakan kaedah mendulang.

Timbalan Menteri Besar Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya akan mengeluarkan lesen mengikut syarat-syarat tertentu sebagai rekod.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN