China gantung tarif tambahan terhadap import AS selama setahun

China gantung tarif tambahan terhadap import AS selama setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: China hari ini mengumumkan akan menggantung tarif tambahan sebanyak 24 peratus yang dikenakan ke atas barangan import tertentu dari Amerika Syarikat (AS) selama setahun, lapor media rasmi negara itu.

Langkah tersebut dibuat susulan sidang kemuncak antara Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatnya dari AS, Donald Trump, yang diadakan minggu lalu di Korea Selatan, di mana kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan perjanjian perdagangan dan tarif selama setahun.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Tarif Kastam di bawah Majlis Negeri memaklumkan tarif sedia ada sebanyak 10 peratus akan dikekalkan.

Langkah baharu itu akan berkuat kuasa pada 10 November, menurut kenyataan badan tersebut.

Keputusan itu, menurut suruhanjaya berkenaan bertujuan melaksanakan hasil dan persefahaman yang dicapai dalam rundingan ekonomi serta perdagangan antara China dan AS.

China dan AS mengadakan beberapa pusingan rundingan ke arah mencapai perjanjian perdagangan, yang turut menjadi agenda utama semasa sidang kemuncak Jinping-Trump di bandar pelabuhan Busan pada 30 Oktober lalu.

“Penggantungan berterusan terhadap sebahagian tarif tambahan antara China dan AS akan membantu menggalakkan pembangunan hubungan ekonomi dan perdagangan dua hala yang kukuh, stabil dan mampan, membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara, serta menyumbang kepada kemakmuran global,” kata suruhanjaya itu.

Ia turut memaklumkan China akan menamatkan langkah tarif tambahan yang dinyatakan dalam pengumuman terdahulu terhadap beberapa barangan import dari AS.

Mac lalu, China mengenakan tarif tambahan sebanyak 15 peratus ke atas ayam, gandum, jagung dan kapas yang diimport dari AS.

Sementara itu, sorgum, kacang soya, daging babi, daging lembu, hasil akuakultur, buah-buahan, sayur-sayuran dan produk tenusu dikenakan tarif tambahan sebanyak 10 peratus.

Dalam satu sidang media berasingan di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, dasar China terhadap AS ‘kekal konsisten’.

“Kami sentiasa melihat dan mengurus hubungan dengan Amerika berdasarkan prinsip saling menghormati dan kerjasama menang-menang. Pada masa yang sama, kami akan mempertahankan kedaulatan, keselamatan dan kepentingan pembangunan negara dengan tegas.

“Hubungan China-AS yang kukuh dan stabil adalah kepentingan asas bagi rakyat kedua-dua negara, dan ia juga sesuatu yang diharapkan oleh masyarakat antarabangsa,” katanya.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN