Calon diingatkan berkempen secara bersih, elak politik wang

Calon diingatkan berkempen secara bersih, elak politik wang

UNDI dan pilih kerajaan yang mampu membawa negeri ke arah masa depan lebih stabil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 diingatkan supaya berkempen secara bertanggungjawab serta menghormati prinsip demokrasi yang adil dan matang.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menerusi Jawatankuasa Pemandu Bersih berkata, politik wang merupakan jenayah pilihan raya yang mesti ditolak oleh semua calon dan pengundi.

Katanya, pemberian wang tunai, barangan, penajaan majlis atau apa jua bentuk habuan adalah kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melibatkan rasuah dan beli undi, selain Seksyen 8 berkaitan jamuan serta pemberian hadiah.

“Amalan politik wang bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi merosakkan asas demokrasi kerana ia menukar kuasa memilih pemimpin kepada satu transaksi.

“Rakyat Sabah perlu menolak politik wang kerana masa depan negeri ini bergantung kepada pemilihan pemimpin yang benar-benar berintegriti, berkeupayaan dan mempunyai visi jangka panjang.

“Apabila politik wang dibiarkan berleluasa, ia membuka ruang kepada pemimpin yang hanya menjaga kepentingan sendiri dan mengabaikan dasar yang mampu membawa kemajuan sebenar kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Bersih, pihaknya menggerakkan seramai 70 pemantau di 23 kawasan Parlimen bagi memastikan PRN Sabah Ke-17 dipantau secara bebas dan berintegriti.

Katanya, Sabah memerlukan pemimpin yang dipilih bukan kerana habuan diberikan, tetapi tanggungjawab serta komitmen untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan membangunkan negeri secara mampan.

Pada masa sama, Bersih turut menggesa rakyat Sabah memainkan peranan aktif mempertahankan integriti pilihan raya.

“Sekiranya berlaku salah laku termasuk politik wang, ugutan, penyalahgunaan jentera kerajaan atau pelanggaran peraturan pilihan raya, orang ramai digalakkan membuat laporan melalui laman web www.pemantau.org.

“Suara dan tindakan rakyat amat penting untuk memastikan proses pilihan raya benar-benar bersih, adil dan bermaruah,” katanya.

PRN-17 Sabah bermula semalam menyaksikan peningkatan seramai 149 orang calon atau 33 peratus berbanding sebelum ini bagi bersaing merebut 73 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seramai 596 orang calon bertanding kali ini merangkumi 23 parti dan 74 calon Bebas manakala pertembungan bermula daripada empat sehingga 14 penjuru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN