BENTONG: Cadangan mengenakan caj kenderaan bagi akses ke Genting Highlands tidak sepatutnya mendapat sokongan daripada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing kerana langkah itu dikhuatiri menjejaskan imej pelancongan negara.
Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, langkah itu dilihat memberi beban tambahan kepada pengunjung, khususnya pelancong domestik yang menjadikan pusat peranginan tersebut sebagai destinasi utama keluarga.
Katanya, selain pelancong, cadangan itu jika dilaksanakan boleh membebankan pekerja yang berulang-alik ke Genting Highlands dan penduduk berdekatan, khususnya di Batang Kali, Selangor yang bergantung kepada laluan berkenaan.
“Berdasarkan rekod, Genting Malaysia Berhad mencatat keuntungan bersih melebihi RM2 bilion pada 2024. Jadi, UMNO Bahagian Bentong melihat syarikat itu tidak menghadapi masalah untuk menanggung kos penyelenggaraan jalan tanpa mengenakan caj tambahan kepada pengguna.
“Dengan keuntungan sebesar itu, syarikat sepatutnya melaksanakan tanggungjawab korporat dengan menanggung kos penyelenggaraan. Caj ini hanya menambah beban rakyat,” kata dalam kenyataan di sini.
Semalam, King Sing dilaporkan sebagai menyokong cadangan kutipan caj kenderaan untuk akses ke Genting Highlands dan menyatakan langkah itu tidak dapat dielakkan bagi memastikan penyelenggaraan jalan di kawasan berkenaan dapat dilakukan secara berterusan.
Menteri tersebut dilaporkan berkata, jalan menuju ke Genting Highlands merupakan laluan persendirian yang diselenggara sepenuhnya oleh kumpulan Genting Malaysia Berhad yang mana kos penyelenggaraan yang tinggi memerlukan sumber kewangan tambahan.
Untuk rekod, keuntungan bersih Genting Malaysia Berhad meningkat lebih dua kali ganda kepada RM416.75 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM82.24 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Genting Malaysia menyatakan, peningkatan itu disumbangkan oleh keuntungan pertukaran asing sebanyak RM184.6 juta hasil pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), memandangkan sebahagian besar hutangnya adalah dalam mata wang asing.
Pendapatan syarikat meningkat 9.3 peratus kepada RM2.918 bilion dalam suku kedua 2025, berbanding RM2.669 bilion setahun lalu.
Mengulas lanjut, Mohamad Zaini berharap cadangan tersebut dikaji semula syarikat terbabit dengan campur tangan pihak berwajib.
“Daripada perspektif rakyat dan imej pelancongan, cadangan tersebut tidak wajar dilaksanakan dan kita kecewa apabila ia disokong oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya. – UTUSAN










