Britain hadkan bantuan kepada pemohon suaka

Britain hadkan bantuan kepada pemohon suaka

PENDATANG duduk di atas bos penyeludup dalam cubaan menyeberangi Selat Inggeris berhampiran pantai Gravelines, utara Perancis.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain melancarkan rombakan terbesar dalam dasar pencari suaka pada zaman moden, dengan mengambil inspirasi daripada pendekatan tegas Denmark.

Pendekatan negara tersebut dianggap antara yang paling ketat di Eropah dan sering dikritik pertubuhan hak asasi manusia.

Kerajaan Parti Buruh dilihat semakin mengetatkan dasar imigresen, khususnya berkaitan kemasukan pendatang melalui bot kecil dari Perancis, dalam usaha mengekang peningkatan sokongan terhadap parti populis, Reform UK, yang lantang mendesak tindakan tegas terhadap migrasi.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri, antara perubahan utama adalah pemansuhan undang-undang yang mewajibkan kerajaan untuk memberikan bantuan tertentu kepada pemohon suaka, termasuk tempat tinggal dan elaun mingguan.

Langkah itu akan terpakai kepada pemohon suaka yang mampu bekerja tetapi enggan berbuat demikian serta mereka yang melanggar undang-undang.

Pada masa ini, individu yang diberikan status pelarian menikmati perlindungan selama lima tahun sebelum layak memohon kediaman tetap dan seterusnya kewarganegaraan.

Kementerian berkata, sokongan menggunakan wang pembayar cukai akan diutamakan kepada mereka yang menyumbang kepada ekonomi dan komuniti setempat.

Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood dijangka mengumumkan butiran lanjut pada Isnin mengenai langkah baharu yang menurut kerajaan bertujuan mengurangkan daya tarikan Britain kepada pendatang tanpa izin serta memudahkan proses pengusiran mereka.

“Negara ini mempunyai tradisi bangga menerima mereka yang melarikan diri daripada bahaya, namun sikap murah hati kita menarik pendatang tanpa izin menyeberangi Selat Inggeris,” katanya.

Tinjauan menunjukkan isu imigresen kini mengatasi ekonomi sebagai kebimbangan utama pengundi di mana 109,343 permohonan suaka dibuat di UK sehingga Mac 2025, meningkat 17 peratus berbanding tahun sebelumnya dan melepasi paras tertinggi tahun 2002.

Kementerian Dalam Negeri memaklumkan, pembaharuan dasar itu bukan sahaja bersandarkan pendekatan Denmark, tetapi juga beberapa negara Eropah lain yang mengamalkan status pelarian sementara, bantuan bersyarat dan kewajiban proses integrasi.

Sentimen anti imigresen semakin meningkat di Britain dengan protes berlaku di beberapa hotel menempatkan pemohon suaka dibiayai kerajaan dan fenomena serupa turut melanda Eropah sejak lebih sejuta pelarian, kebanyakannya dari Syria tiba melalui Mediterranean pada 2015 dan 2016.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN