Bersatu pecat ketua bahagian Sepang, Puchong

Bersatu pecat ketua bahagian Sepang, Puchong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memecat keahlian dua Ketua Bahagian, Datuk Suhaimi Mohd. Ghazali (Sepang) dan Mohd. Shukor Mustaffa (Puchong), berkuat kuasa serta-merta.

Pemecatan itu dibuat melalui dua notis yang dialamatkan kepada kedua-dua pemimpin akar umbi Bersatu itu yang bertarikh 17 November.

Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd. Radzi Manan di dalam notis itu berkata, pihak Lembaga Disiplin pada 6 November lalu telah memutuskan memecat keahlian kedua-dua Suhaimi dan Mohd. Shukor kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti.

Katanya, ia juga melanggar Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli di dalam parti Bersatu.

“Adalah dimaklumkan bahawa Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang pada 6 November 2025 dan memutuskan bahawa tuan dipecat hak-hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 berkuatkuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan kerana tindakan melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam notis tersebut.

Menurutnya, notis itu berkuat kuasa serta merta namun kedua-dua responden dibenarkan mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.

Pada Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian anggota Majlis Pimpinan Tertinggi, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, selain menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selama satu penggal.

Empat lagi ahli, iaitu Mohd. Azrudin Md. Idris (Hang Tuah Jaya), Mohd. Faizal Asmar (Pengerang), Mohd. Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Mohd. Isa Mohd. Saidi (Ampang) turut dipecat selepas dipanggil Lembaga Disiplin.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN