KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mendakwa banyak lagi tanah negeri yang dibina pelbagai premis oleh kerajaan Pusat tanpa diselesaikan urusan pemilikan termasuk sekolah dan Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini.
Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Datuk Dr. Azman Ibrahim mendakwa, kerajaan terdahulu mengambil mudah tentang urusan tanah negeri sehingga kehilangan banyak hasil.
“Sangat panjang senarai tanah negeri yang dibina pelbagai premis oleh kerajaan Pusat tanpa diselesaikan urusan pemilikan tanah kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dengan makna ia masih lagi berstatus tanah negeri.
“Saya tunjuk sikit, ini sekolah-sekolah yang beroperasi di Besut di atas tanah milik negeri sedangkan sepatutnya sekolah perlu dibina atas tanah PTP. Mereka perlu bayar premium dan cukai tanah kepada kerajaan negeri.
“Tanpa diselesaikan urusan pemberimilikan tanah ini, negeri hilang hasil. Sebahagian usia sekolah ini sudah sangat lama. Ini baru Besut sahaja. Di daerah lain banyak lagi. Sekarang Pejabat Tanah Daerah sedang ambil tindakan penyelesaian mengikut peraturan,” katanya dalam Facebooknya semalam.
Beliau turut memuat naik permohonan pemberi milikan tanah kerajaan (tapak sekolah) melibatkan daerah Besut.
Terdahulu, kerajaan Negeri Terengganu dilapor akan menyita 15,000 hektar tanah jika Felda terus berdiam berhubung isu perkongsian keuntungan membabitkan tanah kerajaan negeri selepas lebih 40 tahun tidak menerima sebarang bayaran.
Felda dilapor diberi tempoh sehingga 29 November ini untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan kerajaan negeri menawarkan 30 peratus daripada keuntungan kasar sejak April 2024 namun lembaga didakwa belum mengemukakan sebarang angka cadangan.
Menurut Azman, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu juga masih berada di atas tanah negeri dan pihaknya sedang mengusahakan penyelesaian.-UTUSAN.










