Banjir Perlis: Tanah runtuh di laluan bercerun Wang Kelian, penduduk terputus hubungan - Utusan Malaysia

Banjir Perlis: Tanah runtuh di laluan bercerun Wang Kelian, penduduk terputus hubungan

GELONGSORAN atau tanah runtuh di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Penduduk Wang Kelian terputus hubungan selepas jalan utama di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian ke kawasan Kampung Wang Kelian mengalami tanah runtuh.

Selain tanah runtuh itu, terdapat juga kejadian pokok tumbang di Jalan Wang Kelian menyebabkan laluan terputus sementara.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, selain itu, tujuh laluan sekitar di sini ditutup sementara waktu buat semua kenderaan ringan berikutan situasi peningkatan paras air berikutan banjir.

Penutupan melibatkan Jalan Kaki Bukit Batu 16, Simpang Tiga Kok Mak, Jalan menghala Wang Kelian, Jalan Kampung Chantek Kaki Bukit, Jalan Titi Tinggi, Jalan Gua Kelam dan Jalan Kangar Padang Besar berhampiran Agrovet Perlis.

Katanya, hujan lebat yang berlaku sejak semalam telah menyebabkan beberapa kawasan di daerah Padang Besar telah dilanda banjir kilat.

“Polis Padang Besar juga sedang melaksanakan pemantauan berterusan dan membantu pemindahan mangsa-mangsa terjejas. Hujan berterusan yang melanda di negeri ini turut menyebabkan berlakunya runtuhan tanah di Jalan Wang Kelian.

ANGGOTA keselamatan melakukan pemantauan di Kampung Wang Kelian, Padang Besar, Perlis, bagi membantu pemindahan mangsa terjejas hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD

“Laluan tersebut terpaksa ditutup sepenuhnya berikutan tidak selamat untuk dilalui oleh pengguna jalan raya. Jalan tersebut ditutup sepenuhnya sehingga kerja-kerja pembersihan dan penilaian keselamatan selesai dilaksanakan.

“Orang ramai dinasihatkan menggunakan laluan alternatif dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya di sini hari ini.

Katanya, buat masa ini, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh, SK Titi Tinggi dan Masjid Nurul Huda Wang Kelian.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN