PADANG BESAR: Dua pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di negeri ini susulan banjir yang melanda beberapa kawasan khususnya di Wang Kelian di sini berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
PPS yang diaktifkan itu adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Sireh dan SK Titi Tinggi. Seramai 120 penduduk membabitkan 40 keluarga dari Kampung Wang Kelian dipindahkan.
Setakat pukul 3 petang ini, empat sungai di negeri ini iaitu Sungai Pelarit, Sungai Chuchoh, Timah Tasoh dan Sungai Jarum dilaporkan berada pada paras bahaya.
Selain kediaman penduduk dan kenderaan ditenggelami air, beberapa laluan juga dinaiki air dan menyukarkan kenderaan keluar masuk.
Malah, terdapat juga kejadian pokok tumbang di Jalan Wang Kelian, di sini, sehingga menyebabkan laluan terputus sementara.
Selain itu, hujan berterusan turut mengakibatkan gelongsoran atau tanah runtuh di sekitar laluan bercerun dari View Point Wang Kelian ke kawasan kampung di situ.

Dalam masa sama, beberapa lokasi peranginan dan rekreasi seperti Gua Kelam turut terjejas dan terpaksa ditutup sehingga dimaklumkan kelak demi keselamatan pengguna.
Pelbagai agensi terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Pertahanan Awam (APM) dan beberapa lagi turut dikerahkan ke lokasi bagi membantu memindahkan mangsa terlibat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli turut turun padang meninjau mangsa banjir sekitar Wang Kelian.

Setiap mangsa terlibat diberi beberapa bantuan seperti makanan, pakaian, kelengkapan asas dan turut menjalani pemeriksaan kesihatan di PPS.-UTUSAN










