KANGAR: Selepas keadaan di Arau dan Padang Besar semakin surut, limpahan air dari sebelah utara negeri ini mula turun memenuhi kawasan pusat bandar negeri ini, sekali gus menyebabkan banyak kawasan mula tenggelam.
Sejak malam dan awal pagi semalam, pasukan keselamatan khususnya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), bomba dan pelbagai agensi keselamatan lain bertungkus-lumus memindahkan mangsa yang terperangkap.
Antaranya, APM berjaya memindahkan 44 mangsa terperangkap di Kampung Hutan Melintang dan dua mangsa yang dua hari terperangkap di Kampung Bakau.
Kali terakhir pekan Kangar dipenuhi air adalah pada tahun 2010 yang disifatkan antara bencana paling buruk melanda negeri ini ketika itu.
Banjir yang semakin buruk itu juga menyebabkan beberapa klinik kesihatan dan desa di negeri ini ditutup sementara antaranya Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau dan Kangar. Manakala Klinik Desa yang terjejas pula masing-masing di Titi Tinggi, Titi Tok Bandar, Felda Mata Ayer, Padang Melangit, Abi dan Bintong.
Jumlah mangsa banjir di Perlis terus meningkat kepada hampir 7,000 di 20 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Padang Besar, Kangar dan Arau. Kangar merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu menghampiri 4,000 daripada lebih 1,000 keluarga.
Bekalan makanan juga sedang dihantar kepada pelajar khususnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan Kangar yang terjejas ekoran paras air meningkat, manakala calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari SMK Putra di sini yang terjejas teruk dengan banjir telah dibawa ke Matrikulasi Arau, bagi menduduki peperiksaan.
Seorang mangsa banjir dari Kampung Guru, Muhammad Akmal Azlan,31, berkata, air naik dengan begitu pantas sehingga paras pinggang dan kediamannya kini terputus bekalan elektrik.
“Keadaan banjir di Kangar makin buruk dengan kali terakhir bah besar pada 2010,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir dari Taman Kemajuan, Mohd. Ramzom Ismail,34, berkata, selain rumah dinaiki air, dua buah kedai gunting rambut miliknya di Taman Perlis dan berdepan mahkamah Kangar juga tenggelam sekali gus menyebabkan dia mengalami kerugian.
“Kawasan di Taman Kemajuan air sudah mencecah paras pinggang dan air juga bergerak deras sejak pagi yang berterusan. Kali terakhir Taman Kemajuan dinaiki air pada 2010 iaitu kira-kira 15 tahun yang lalu. Kali ini, banjir agak besar.
“Apa yang membimbangkan kedai gunting rambut yang diusahakan juga terjejas dengan anggaran kerugian mencecah RM10,000. Melihat kepada hujan yang masih lebat, dijangka banjir akan semakin buruk,” katanya. – UTUSAN










