Baki 12 mayat PATI dihantar ke Alor Setar

Baki 12 mayat PATI dihantar ke Alor Setar

KHAIRUL Azhar Nuruddin (kanan) memeriksa 12 mayat PATI yang dihantar ke HSB menggunakan bot polis PLC 5 di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut di Langkawi, Kedah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak 12 lagi mayat pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditemukan hanyut di perairan Langkawi susulan tragedi bot karam di sempadan Malaysia-Thailand dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Kesemua mayat terdiri daripada 10 lelaki serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan itu dipindahkan dari Hospital Sultanah Maliha (HSM) di sini.

Trak polis tiba di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Bukit Malut kira-kira pukul 7.20 pagi tadi, sebelum kesemua mayat dipindahkan ke bot PLC 5 untuk dibawa ke Kuala Perlis sebelum dihantar ke HSB.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin berkata, pihaknya turut menghantar empat mayat ke HSB, semalam.

“Sebanyak 16 mayat telah selesai dibedah siasat dan baki 12 mayat ini dijangka dilakukan pada hari ini dan esok. Buat masa ini, tiada lagi mayat migran terlibat di HSM,” katanya ketika ditemui di Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut di sini hari ini.

Kata beliau, satu mesyuarat akan diadakan bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) untuk urusan pengebumian jenazah mangsa.

Sementara itu, katanya, seramai 14 lagi migran yang ditemui terselamat masih dalam tahanan dan siasatan lanjut sedang dilakukan terhadap mereka.

Setakat ini, sebanyak 42 migran ditemui hanyut di perairan ini dengan 28 daripadanya meninggal dunia. Mangsa yang maut terdiri daripada 14 lelaki dan sembilan wanita serta dua kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

Bot dipercayai membawa 70 migran itu karam di perairan Malaysia-Thailand berhampiran Pulau Tarutao selepas lebih sejam memulakan pelayaran menuju ke negara ini.

Berdasarkan maklumat diperoleh, mereka pada awalnya menaiki bot induk yang membawa 300 penumpang dari Buthidaung, Myanmar sebelum dipindahkan ke dua bot lebih kecil.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN