AS ikut jejak Israel, tidak hadir semakan hak asasi manusia PBB

AS ikut jejak Israel, tidak hadir semakan hak asasi manusia PBB

KERUSI wakil Amerika Syarikat kosong pada September lalu, selepas Presiden Donald Trump menarik diri daripada beberapa badan PBB termasuk Majlis Hak Asasi Manusia.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) tidak menghantar wakil untuk menghadiri semakan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadikannya negara kedua dalam sejarah yang menolak prosedur wajib itu.

Semakan Berkala Sejagat (UPR), yang biasanya diadakan setiap empat hingga lima tahun, berlangsung pada Jumaat tanpa kehadiran wakil AS.

“Kami sepatutnya mengadakan mesyuarat hari ini (Jumaat) untuk meneruskan semakan terhadap Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, saya perhatikan delegasi Amerika Syarikat tidak hadir di bilik ini,” kata Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Jurg Lauber.

Ogos lalu, AS memaklumkan tidak akan menghadiri mesyuarat tersebut, menyertai sekutunya, Israel, sebagai satu-satunya negara lain yang menolak proses untuk 193 anggota PBB menjalani semakan rekod hak asasi manusia masing-masing.

Topik seperti lesbian, gay, biseksual, transgender, dan queer (LGBTQ), hak imigran dan hukuman mati menjadi agenda perbincangan dalam mesyuarat itu.

Wakil China pada mesyuarat itu berkata, Washington menunjukkan ‘kurang rasa hormat terhadap mekanisme UPR’, manakala Cuba menuduh AS takut kepada pengawasan lebih ketat terhadap rekod hak asasi manusianya.

“Sebagai ahli pengasas PBB dan peneraju utama kebebasan individu, kami tidak akan diajar mengenai rekod hak asasi manusia kami oleh ahli Majlis Hak Asasi Manusia seperti Venezuela, China atau Sudan,” kata Jabatan Negara AS dalam satu kenyataan.

Walaupun AS mempunyai sejarah panjang dalam mengecam pengawasan institusi antarabangsa terhadap amalan hak asasi manusianya, pentadbiran Presiden Donald Trump dilihat amat bermusuhan dengan rangka kerja antarabangsa yang boleh mengehadkan penggunaan kuasa Washington di dalam dan luar negara.

AS juga berusaha memberi tekanan kepada insititusi antarabangsa yang mengkritik sekutunya seperti Israel, dengan mengenakan sekatan ke atas pegawai PBB dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung konflik di Gaza.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN