BANGI: “Saya terdengar orang tanya ‘mana Alin’, bila saya toleh ke belakang, arwah sudah tiada di kerusinya,”.
Itu kata Wan Nur Hidayah Wan Muhammad, 42, ibu saudara kepada Allahyarham Wan Adlin Nadhilah Wan Nasrul Hakim yang maut dalam kemalangan ketika perjalanan pulang ke Mentakab, Pahang dua minggu lalu.
Mengimbas semula, dia berkata, kira-kira 15 minit sebelum kejadian tersebut, arwah berpesan supaya gambar yang diambil olehnya di muat naik ke Google Drive dengan segera untuk ditunjukkan kepada ahli keluarga yang lain.
“Itu kali pertama dia minta macam tu. Tak pernah sekali pun sebelum ini. Tapi, tiada tingkah laku pelik ditunjukkan arwah kecuali satu perkara yang membuatkan saya teringat hingga kini.
“Selepas mengambil gambarnya saya berseloroh, ‘Tak perlu upah jurugambar, nanti sudah kerja, bayar Andak (Wan Nur Hidayah) sahaja ambil gambar Alin’.
“Reaksi arwah pada ketika itu agak berbeza. Selalunya dia akan gelak atau menjawab balik, tetapi waktu itu dia hanya diam, senyum, pandang saya sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen Ke-53 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan Allahyarham Wan Adlin Nadhilah meninggal dunia dalam nahas membabitkan dua buah kereta di Kilometer 126, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Temerloh, Pahang pada 15 November lalu.
Allahyarham sepatutnya menghadiri majlis konvokesyen bagi meraikan kejayaannya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di UKM, Bangi semalam.
Wan Nur Hidayah sementara itu berkata, sebelum kemalangan berlaku, dia sempat terlihat dua kereta dipandu laju dari arah bertentangan terus menghala ke arah kereta yang dipandunya.
“Saya dah cuba elak ke tepi, tapi terus dihentam. Bunyi dia kuat, seperti bunyi meletup,” katanya.-UTUSAN.










