KUANTAN: Latihan keusahawanan intensif dikenali sebagai “Aokmer Usahawan” berjaya dianjurkan secara bersama oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar dan Yayasan Pahang.
Bengkel selama tiga hari bermula 18 November lalu itu dihadiri oleh kira-kira 40 orang pemilik perniagaan kecil dari kawasan Lepar.
Program tersebut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Digital Methods, Zulkifli Ahmad, sebagai jurulatih utama. Ia turut disertai oleh penceramah jemputan dari Tekun Nasional dan Pasar Sera.
Bengkel terbabit memberi penekanan khusus terhadap penjenamaan, pemasaran digital dan strategi penembusan pasaran.
Pengasas bersama Pasar Sera, Nadia Rustham, turut hadir berkongsi ilmu tentang konsep pasaran kreatif, jangkaan komersial daripada pasaran kreatif terhadap vendor dan bagaimana proses tersebut dapat membantu kedudukan jenama dalam pasaran negeri Pahang.
Hasil daripada program “Aokmer Usahawan,” seramai 10 vendor terpilih dari Lepar akan diberikan peluang keemasan untuk mempamerkan jenama dan produk mereka di acara Pasar Sera yang akan datang, bertempat di Taman Tasik Paya Besar pada 28 hingga 30 November ini.
Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria berkata, pihak berharap latihan dan pendedahan yang diberikan ini akan memperkasakan perniagaan peserta untuk menjadi sebuah jenama yang kukuh bertapak di hati dan minda penduduk Pahang.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Komunikasi Korporat Yayasan Pahang, Nur Fadhlin Jazilah Johan berkata, beliau begitu tersentuh dengan semangat dan dedikasi yang ditunjukkan oleh para usahawan kecil dari kawasan Lepar.
“Ada peserta yang sanggup menutup perniagaan mereka selama tiga hari semata-mata untuk menghadiri Aokmer Usahawan. Ini adalah demi menimba ilmu dan merebut peluang untuk ditempatkan sebagai vendor Pasar Sera,” katanya. – UTUSAN










