Air Empangan Tasik Subang dilepas berperingkat

Air Empangan Tasik Subang dilepas berperingkat

Empangan Tasik Subang
PELEPASAN air Empangan Tasik Subang dilakukan secara berperingkat dan terkawal, tiada kenaikan ketara paras sungai dilaporkan. - Gambar LUAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Air di Empangan Tasik Subang di sini, dilepaskan secara berperingkat pagi tadi apabila kapasiti takungannya mencapai paras 38.66 meter, semalam.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, pelepasannya dilakukan secara terkawal untuk menuruskan paras air dan seterusnya memberi ruang kepada limpahan hujan yang berterusan.

Menurutnya, paras air di empangan berkenaan meningkat secara mendadak dari 79.83 peratus atau 37.38 meter susulan kadar hujan tinggi dan berterusan sejak Isnin lalu.

“Pelepasan air empangan itu selaras dengan Pelan Tindakan Kecemasan bagi Empangan Tasik Subang bagi memastikan keselamatan dan integriti struktur empangan selaras dengan garis panduan Malaysia Dam Safety Management (MyDAMS).

“Situasi semasa di Empangan Tasik Subang adalah terkawal dengan pelepasan yang dipantau rapi oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, paras air di sana juga menunjukkan tren peningkatan kepada paras limpahan dengan ketinggian 95.12 peratus atau 38.09 meter pada pukul 7 pagi, 25 November lalu.

“Walau bagaimanapun, paras Empangan Tasik Subang terus meningkat ke tahap berikutnya susulan peningkatan kadar hujan luar biasa yang dipercayai kesan ribut tropika Senyar iaitu sekitar 110 milimeter (mm) dan paras ketinggian empangan mencapai 38.57 meter pada pukul 1 pagi, kelmarin,” ujarnya.

Pada 2021, pelepasan air berperingkat di Empangan berkenaan pernah dilakukan dan ia dilapor dialirkan ke Sungai Subang sebelum ke Sungai Buloh dan seterusnya ke Sungai Selangor dan laut.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia di lembangan sungai berkaitan, tiada kenaikan ketara paras air dilaporkan di sepanjang Sungai Buloh, bagaimanapun paras air di Pintu Air Ijok dilapor kekal melepas paras bahaya iaitu 4.12 meter berbanding paras normal 2.0 meter.

Sehingga pukul 7.13 petang tadi, jumlah mangsa banjir yang berpindah ke lebih 30 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah pun berkurangan kepada 3,516 mangsa berbanding lebih 4,000 pada tengah hari tadi.

PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman di Ijok, Kuala Selangor sudah pun ditutup susulan banjir di kawasan berdekatan terutama di Taman Saujana Aman pulih sepenuhnya dan mangsa dibenarkan pulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN