KLANG: Kerajaan negeri dilapor akan membantu menyelesaikan perihal peruntukan tanah 2.8 hektar kepada penduduk Kampung Papan, Pandamaran, di sini, sebagai sebahagian daripada pampasan ekoran perintah pengosongan kediaman dihadapi mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Tony Leong Tuck Chee berkata, beliau sudah pun bertemu dengan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari semalam (Rabu) berhubung penyelesaian isu perobohan rumah di penempatan tersebut.
Menurutnya, beliau diminta bertemu dengan pihak Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) bagi menguruskan isu tanah yang dijanjikan pemaju kepada penduduk sebelum ini.
“Menteri Besar sudah mengarahkan saya bertemu dengan PNSB esok. Saya akan berjumpa esok (Jumaat) pada pukul 10 pagi.
“Beliau mengharapkan saya berbincang dengan PNSB berkenaan pampasan untuk diberikan kepada penduduk. Itu yang penduduk mahu,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan perobohan rumah penduduk di Kampung Papan tetap berjalan walaupun kerajaan negeri meminta pada 21 Oktober lalu supaya pemaju merobohkan kediaman yang tidak berpenghuni.
Bagaimanapun, kerja perobohan tersebut dibuat selepas arahan pengosongan diberikan oleh bailif mahkamah berdasarkan perintah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 29 November tahun lalu.
Tony Leong berkata, ketika ini beliau bersama kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sedang membantu penduduk yang kehilangan tempat tinggal bagi mendapatkan rumah seperti Skim Smart Sewa atau Rumah Selangorku. – UTUSAN










