9,058 PPS mampu tampung 2.2 juta mangsa banjir

9,058 PPS mampu tampung 2.2 juta mangsa banjir

KEADAAN banjir di beberapa kawasan penempatan penduduk yang terjejas akibat hujan lebat di Kampung Tok Dir, Marang, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengaktifkan sebanyak 9,058 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan kapasiti 2.2 juta mangsa di seluruh negara bagi memastikan keselesaan dan ke­bajikan mangsa banjir terus terjaga.

Menteri Pembangunan Wani­ta, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, JKM turut mempersiapkan lapan fasiliti Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), sem­bilan stor negeri, 138 stor daerah, 68 mini depoh atau kontena serta 561 pangkalan hadapan di seluruh negara bagi memastikan agihan barangan keperluan dapat dilaksanakan dengan lancar.

Katanya, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi Musim Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah mengemas kini 3,682 lokasi hotspot banjir, manakala Jabatan Mine­ral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 254 cerun kritikal di seluruh negara.

“Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) oleh JPS juga telah diaktifkan dengan 33 Mo­del Ramalan Banjir beroperasi 24 jam. Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pula akan mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan sekurang-kurangnya seminggu lebih awal sekiranya terdapat tanda-tanda cuaca signifikan berpotensi mendatangkan bencana.

“MetMalaysia juga akan mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada, buruk dan bahaya serta amaran angin kencang dan laut bergelora tiga hari lebih awal sebagai langkah kesiapsiagaan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaa­n-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai status terkini situasi banjir di setiap negeri dan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi musim tengkujuh serta usaha segera kerajaan membantu membawa pulang rakyat Malaysia yang masih terkandas di Hatyai akibat banjir besar.

Nancy berkata, seramai 103,500 anggota daripada pelbagai agensi kerajaan di semua peringkat juga telah bersiap siaga, disokong hampir 40,000 aset darat, air dan udara terma­suk jentera. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN