KOTA KINABALU: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 menyaksikan peningkatan seramai 149 orang calon atau 33 peratus berbanding sebelum ini bagi bersaing merebut 73 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Seramai 596 orang calon bertanding kali ini merangkumi 23 parti dan 74 calon Bebas manakala pertembungan bermula daripada empat sehingga 14 penjuru.
Pada PRN Sabah tahun 2020, hanya 447 calon daripada 14 parti politik dan 56 orang calon Bebas manakala calon paling banyak bertanding membabitkan 11 penjuru.
PRN kali menyaksikan banyak nama besar bertanding antaranya empat Timbalan Menteri iaitu Datuk Arthur Joseph Kurup, Datuk Mohammad Yusof Apdal, Datuk Mohamad Alamin dan Datuk Chan Foong Hin di samping bekas-bekas Menteri antaranya Tan Sri Anifah Aman, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Datuk Ewon Benedick dan Datuk Seri Salleh Said Keruak.
Namun bukan laluan mudah menanti mereka dan mana-mana parti.
Ini memandangkan tiada saingan dua penjuru sebaliknya pertembungan banyak penjuru pada 29 November ini.
Parti Warisan Sabah (Warisan) menjadi satu-satunya parti yang bertanding di semua kawasan iaitu meletakkan calon di 73 DUN. P Parti Impian Sabah (PIS) pula menampilkan 72 calon, diikuti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mengemukakan 55 calon.
Parti Solidariti Tanah Airku (Star) meletakkan 46 calon, manakala Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing bertanding 45 dan 42 calon.
Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) turut menyertai saingan dengan 40 calon, diikuti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) seramai 25 calon, manakala Pakatan Harapan (PH) pula mengumumkan 22 calon, Parti Kebangsaan Sabah (PKS) 20 calon dan Parti Kerjasama Anak Negeri 17 calon.
Selain itu, Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) yang menampilkan 16 calon, Parti Bumi Kenyalang (PBK) 14 calon, Parti Rumpun Sabah (Rumpun) tujuh calon manakala Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Damai Sabah (SPP) masing-masing bertanding enam dan lima calon.
Perjuangan Rakyat (PR) juga mengemukakan lima calon, diikuti Pertubuhan Gemilang Anak Sabah (GAS) tiga calon, Parti Bangsa Malaysia (PBM) tiga calon dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) tiga calon.
Selain itu, Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) masing-masing bertanding satu kerusi manakala Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (Perpaduan) turut disenaraikan sebagai parti bertanding pada PRN kali ini
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tiada pencalonan ditolak selepas tempoh penamaan calon telah ditutup pada pukul 10 pagi.
Katanya, calon paling muda berusia 24 tahun iaitu Mohd. Syafiq Iqhmal Saharudin yang bertanding di kerusi Silam mewakili Parti Kebangsaan Sabah (PKS) manakala paling tua berusia 86 tahun, Uling@Thomas Anggan merupakan calon PKS di Bingkor.
Beliau berkata, seramai 80 calon berusia 18 hingga 40 tahun, 149 calon berumur 41 hingga 50, 159 calon berumur 61-70 tahun, 17 calon berusia 71 hingga 80 tahun dan dua calon 81 hingga 99 tahun.
“Calon melibatkan lelaki seramai 525 orang manakala wanita 71 orang,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Dalam pada itu, Ramlan berkata semua calon hendaklah membayar deposit bahan kempen pilihan raya serta tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang dan simbol parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.
“Bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya.
Ia kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding.
“Bahan kempen yang mengandungi perkataan-perkataan yang boleh mengembangkan perasaan jahat, berunsur perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan atau hasutan yang boleh mendatangkan permusuhan adalah tidak dibenarkan,” katanya.-UTUSAN.










