127 juta pokok ditanam di seluruh negara

128 juta pokok ditanam di seluruh negara

Pokok ditanam
SERAMAI 252 murid dan guru Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn terlibat dalam Program Penghijauan Malaysia bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), di Hulu Langat, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT: Sebanyak 127.8 juta pokok ditanam di seluruh negara, sekali gus melepasi sasaran nasional Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilaksanakan sejak 2021.

Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Azhar Ahmad berkata, pencapaian itu menunjukkan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan usaha menghijaukan negara terus digerakkan walaupun sasaran awal sudah dicapai.

Katanya, di peringkat Selangor sahaja, sasaran asal sebanyak 1,024,508 pokok dilepasi dengan jumlah keseluruhan 1,890,022 pokok direkodkan sehingga semalam.

“Walaupun sasaran asal sudah lebih 80 peratus melepasi sasaran kementerian, kerajaan negeri mengambil langkah ke depan dengan menetapkan sasaran baharu iaitu Kempen 11 Juta Pokok menjelang 2026,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Program Penghijauan Malaysia bersama Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (BTHO), hari ini.

Menurutnya, walaupun Selangor pesat membangun, negeri itu tetap memberi keutamaan kepada pemeliharaan hutan selari dengan sasaran mengekalkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan tanah sebagai kawasan berhutan di bawah perancangan Satu Selangor.

Program Penghijauan Malaysia melibatkan penanaman 252 pokok pelbagai spesies oleh murid dan guru BTHO bersama pegawai Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), menjadikannya satu elemen merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan pihak sekolah.

Menurut beliau, pihak jabatan membawa murid pada hari ini untuk merasai sendiri pengalaman menanam pokok nadir yang terdiri daripada pelbagai jenis pokok buah-buahan.

“Tujuan penanaman bukan sekadar memberi pendedahan kepada murid, tetapi juga untuk memastikan pokok-pokok berkenaan memberi manfaat kepada kehidupan liar seperti burung dan tupai di kawasan sekolah.

“Antara spesies yang ditanam termasuk Penaga Lilin, Kelat Pucuk Merah, Jambu, Durian Belanda, Kedondong, Mangga serta beberapa pokok herba seperti Tongkat Ali dan Misai Kucing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN